31 lebuhraya di M’sia akan guna kutipan tol elektronik pada 2017; LDP dan SDE tambahan terbaharu

ldp-petaling-jaya-selatan-toll-bm

Lanjutan kepada berita yang dimaklumkan sebelum ini, bermula 12 tengah hari 9 November 2016, dua lagi lebuhraya akan melaksanakan kutipan tol secara elektronik sepenuhnya; iaitu Lebuhraya Damansara-Puchong (E11, LDP) dan Lebuhraya Senai-Desaru (E22, SDE). Dengan ini, menjelang hujung 2016, semua kutipan tol di Lembah Klang dilakukan secara elektronik (Electronic Toll Collection, ETC).

Empat plaza tol terlibat bagi setiap lebuhraya di dalam pelaksanaan terbaharu ini; di LDP ia membabitkan Plaza Tol Penchala, Plaza Tol Petaling Jaya Selatan, Plaza Tol Puchong Barat dan Plaza Tol Puchong Selatan. Sementara bagi SDE pula melibatkan Plaza Tol Senai, Plaza Tol Ulu Tiram, Plaza Tol Cahaya Baru dan Plaza Tol Penawar.

Timbalan Yang Di Pertua Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuh Raya Malaysia (PSKLM) yang juga merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Lingkaran Trans Kota (Litrak) Sdn Bhd, Sazally Saidi turut memaklumkan, kini hanya tinggal 3 sahaja lagi lebuhraya di Malaysia yang belum menggunakan ETC sepenuhnya.

“Daripada 31 lebuhraya yang beroperasi di Malaysia ketika ini, 28 daripadanya sudah menggunakan sistem ETC sepenuhnya. Kami mensasarkan tahun depan akan menyaksikan lengkapnya pelaksanaan ETC sepenuhnya ini secara menyeluruh,” ujar beliau ketika taklimat bersama media, hari ini.

etc-implementation-chart-bm

Tiga lebuhraya yang dimaksudkan itu ialah Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dan Lebuhraya Elite yang berada di bawah seliaan PLUS. “Daripada pemerhatian yang kami jalankan, daripada 149 juta kenderaan yang menggunakan semua lebuhraya di Malaysia pada Ogos 2016, 138 juta daripada jumlah itu menggunakan ETC; ini 93% daripada jumlah keseluruhan pengguna,” jelas beliau.

“Ini menunjukkan bahawa penerima dalam kalangan pengguna lebuhraya terhadap ETC sangat baik, dan kami yakin, dalam tahun hadapan, semua 31 lebuhraya yang ada di Malaysia akan menggunakan sistem ETC sepenuhnya. Dalam masa sama, kami juga sedang mempertingkatkan kemudahan yang berkaitan secara berperingkat,” jelas beliau.

Ia antara lain merujuk kepada lorong Touch n’ Go yang turut akan diperbanyak di plaza tol, bergantung kepada situasi dan kadar trafik masing-masing. Setakat November 2016, sebanyak 323 lorong tambah nilai Touch n’ Go disediakan secara keseluruhannya.

“Antara penambah baikan segera yang dilakukan ialah lorong berkenaan kini beroperasi 24 jam sehari,” tambah beliau. Rangkaian kemudahan tambah nilai kini juga sudah diperbanyakkan, antaranya di pusat perkhidmatan pelanggan (dilanjutkan waktu operasinya kepada 7 pagi – 10 malam), mesin ATM, kiosk layan diri serta Touch n’ Go Spot.

litrak-etc-november-2016-bm

Setakat ini, terdapat sebanyak 2,288 lorong tol diseluruh Malaysia. Daripada jumlah itu, 1,232 lorong adalah untuk Touch n’ Go, 496 merupakan lorong Smart Tag dan bagi 560 lorong lagi menerima kedua-dua bayaran tunai dan Touch n’ Go.

Bagi mempromosi penggunaan ETC di LDP dan SDE, promosi khas turut akan di adakan. Bagi LDP, 68,000 kad Touch n’ Go akan diedarkan secara percuma (pengguna perlu membayar minimum tambah nilai RM5), Smart Tag pula dijual pada harga RM104.95 serta pemberian rebat 10% selama dua bulan dari 9 November hingga 31 Disember 2016. Ia boleh ditebus guna bagi tempoh Januari hingga April 2017, bergantung kepada tarikh awal penggunaan.

Sama juga di SDE, cuma dengan kadar berbeza; 8,000 kad Touch n’ Go diedarkan percuma (pelanggan perlu menambah nilai RM10), Smart Tag pada harga RM99 serta rebat dengan tempoh tebus guna yang sama dengan pengguna LDP.

Pelan pelaksanaan sistem bayaran tol secara elektronik sepenuhnya ini bermula berperingkat sejak tahun 2008. Setakat 2016, 78 buah plaza tol sudah beroperasi secara elektronik sepenuhnya. Dan pada 2017 pula, disasarkan 99 plaza tol lagi akan bergerak ke arah pelaksanaan yang sama, menjadikan keseluruhan 177 plaza tol yang akan akan beroperasi secara elektronik sepenuhnya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required