jambatan_pahang

Dikhabarkan sebuah jambatan baharu yang menghubungkan Bandar Putera, Tanjung Lumpur dengan bandar Kuantan bakal dibina tidak lama lagi. Kos pembinaan yang dianggarkan bernilai RM181.2 juta ini telah pun mendapat kelulusan Kerajaan Pusat.

Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, jambatan baharu yang dijangka siap pada Ogos 2019 itu, merupakan alternatif bagi Jambatan Tanjung Lumpur yang sedia ada sekali gus mengatasi masalah kesesakan yang dihadapi selama ini terutama pada waktu puncak dan hujung minggu, laporan Bernama.

Pembinaan jambatan baharu ini akan bermula dengan pembinaan jalan dari persimpangan Jalan Pintas Bukit Setongkol dan Jalan Tanah Putih (FT002) melalui sebahagian Jalan Sri Kemunting 2.

Ia akan merentasi Sungai Kuantan dan berakhir di Jalan Tanjung Lumpur. Pembinaan projek ini akan melibatkan kawasan tanah paya bakau di sebelah Tanjung Lumpur, kawasan di Jalan Kemunting 2 serta kawasan lapang di sebelah Bandar Kuantan.

“Projek ini akan meliputi kawasan sepanjang 2.5 kilometer melibatkan pembinaan jalan baharu (1.29 kilometer), dan menaik taraf jalan sedia (0.48 kilometer), dan pembinaan jambatan baharu (451 meter),” ujarnya kepada pihak media.

Malahan ia turut melibatkan kerja pembinaan persimpangan lampu isyarat baharu di Tanjung Lumpur dan kerja menaik taraf satu persimpangan T di Jalan Tanah Putih dan Jalan Pintas Bukit Setongkol kepada persimpangan lampu isyarat.

Dalam masa yang sama, beliau turut berkata kementerian akan mengkaji tentang cadangan kerajaan negeri untuk membina lebih banyak persimpangan bertingkat di negeri ini dalam usaha mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.

“Kita akan kemukakan cadangan ini ke kerajaan pusat, namun saya tidak dapat berjanji kerana ia melibatkan kos yang tinggi iaitu dianggarkan RM50 juta dan apa yang boleh kita lakukan buat sementara ialah dengan menambah baik persimpangan lampu isyarat,” katanya.