Monster binaan khas Beautiful Machine wakili Malaysia ke Yokohama; bakal bersaing dengan 600 jentera lain

aos-harley-davidson-yokohama-14-bm

Saban tahun, dunia jentera dua roda binaan khas atau kustom di Malaysia semakin rancak perkembangannya; ia tidak lagi hanya bergerak dalam kalangan komuniti-komuniti kecil yang bergerak secara bersendirian di seluruh negara.

Sebagai contoh, penganjuran acara khusus seperti Art Of Speed (AOS) sejak lima tahun lalu, yang turut melibatkan penyertaan dan antarabangsa menjadi satu tanda aras baharu bagi penggiat dan peminatnya serta menjadi pemangkin dan pembakar semangat untuk mereka terus menyalurkan kreativiti.

Kini, kita mempunyai satu lagi alasan untuk tumpang berbangga dengan kelompok ini; sebuah jentera binaan khas yang dihasilkan oleh Beautiful Machine Sdn Bhd akan menjadi jentera pertama yang terpilih untuk bertanding dan mewakili Malaysia bagi acara 25th Annual Yokohama Hot Rod Custom Show 2016 yang akan berlangsung pada 4 Disember nanti di Yokohama, Jepun.

Jentera yang dimaksudkan, “Monster” yang dibangun berdasarkan model Harley-Davidson Heritage Softail tahun 1993 itu pertama kali disiapkan bagi menyertai acara AOS pertengahan 2016. “Selepas itu, kami tergerak hati untuk menghantar penyertaan bagi pusingan pemilihan bagi acara di Yokohama,” jelas Rajay Singh, seorang daripada pengasas Beautiful Machine.

Jika mengambil kira dari awal proses pembangunan model binaan khas ini sebelum penyertaan dalam AOS lagi, “Monster” mengambil masa sekitar enam bulan untuk sampai ke tahap sekarang. Apa yang dilakukan terhadap motosikal asal? Bagi membangunkan jentera khas ini, sekurang-kurangnya enam individu bergabung tenaga untuk menghasilkannya.

Selain Rajay sendiri, beliau turut dibantu oleh rakan kongsi garaj berkenaan, Eng Chin Guan serta Julian Oh selaku pereka gaya, dua orang fabrikator yang terdiri daripada Mohd Azman Mat Hassan dan Azrine Zakaria serta seorang jurutera muda, Irwann Mohd Azlan.

Enjin jentera ini bersesaran 1,340 cc mampu menjana sekitar 100 hp kuasa. Sebagai tambahan modifikasi kepada unit Monster ini, ia kini turut dilengkapi dengan kit supercharger, dibangnkan khusus untuknya dan didasarkan kepada unit sama yang pernah digunakan pada Nissan March.

aos-harley-davidson-yokohama-03-bm

“Setakat yang kami pernah cuba sebelum ini, tanpa kit supercharger berkenaan, jentera ini mampu mencapai kelajuan sekitar 170 km/j,” ujar Rajay. Bagaimanapun, dalam konfigurasi kejuruteraannya yang terkini, prestasi sebenar “Monster” masih belum diuji. Satu-satunya komponen asal yang masih kekal daripada versinya yang asal ialah tangki minyak sahaja.

Modifikasi besar-besaran yang dilakukan terhadap jentera ini menelan belanja sekitar RM300,000. Dan, disebabkan ia dibangun menggunakan oriestasi sebuah jentera drag race, Beautiful Machine juga merancang untuk membawa jentera berkenaan untuk bertanding di Amerika Syarikat tahun depan bagi acara Bonneville Salt Flats Speed Week, sebuah lagi perhimpunan besar-besaran peringkat global bagi peminat jentera kustom dan hot rod.

Acara di Yokohama akan menampilkan 600 buah jentera binaan khas dari seluruh dunia dan belangsung satu hari, dalam tempoh hanya lapan jam sahaja. Semoga “Monster” ini akan berhasil menarik perhatian penggemar dan pemerhati di sana. Ia akan dihantar ke Jepun esok.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required