toll plaza plus

Lim Guan Eng menyatakan, kutipan tol di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) sepatutnya dimansuhkan dan bukannya dinaikkan lagi. The Malay Mail Online melaporkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu mendakwa PLUS sudahpun memperoleh semula kos pembinaan dan semua perbelanjaan yang terlibat dahulu, yang mencecah RM5.9 bilion.

Beliau merujuk kepada kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof yang memaklumkan jumlah keseluruhan yang telah dikutip oleh PLUS setakat tahun 2015 ialah RM36.39 bilion. “Ini ditambah pula dengan pampasan yang dibayar oleh kerajaan kepada PLUS akibat penangguhan kenaikan tol sehingga 2015 ialah RM917.1 juta,” tambah beliau.

“Dalam maksud lain, jumlah RM36.39 bilion yang telah dikutip daripada pengguna itu adalah enam kali ganda daripada kos asal,” merujuk kepada kenyataannya yang dikeluarkan hari ini. Lim juga menambah, kos pengambilan tanah ketika itu ditanggung oleh kerajaan persekutuan.

“Jika kita mengambil kira kos penyelenggaraan serta pelebaran jalan, kos berkenaan tidak akan melebihi jumlah RM36.39 bilion yang dikutipd daripada pengguna,” ujarnya. Untuk itu, menurut Lim, kutipan tol PLUS sepatutnya dimansuhkan.

“Memandangkan PLUS sudah meraih pendapatan melebihi daripada perbelanjaan modalnya, kenapa kadar tol tidak diturunkan untuk mencerminkan hanya kepada kadar kos penyelenggaraan sahaja?” tanya beliau.

Mengulas kenyataan Fadillah sebelum ini bahawa kenaikkan tol bagi empat lebuh raya tahun depan akan ditangguh, Lim menyatakan itu hanya “kejayaan kecil” kepada pengguna kerana hakikatnya, rakyat (wang cukai) masih perlu membayar pampasan berjumlah RM59.77 juta kepada konsesi tol yang terlibat.

Lim juga ingin tahu sama ada tempoh konsesi bagi empat lebuhraya berkenaan Eastern Dispersal Link (EDL), Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), Senai-Desaru Expressway (SDE) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) akan dilanjutkan lagi susulan pembayaran pampasan berkenaan, seperti yang dilakukan terhadap PLUS yang menerima tambahan 20 tahun, dari 2018 hingga 2038 atas alasan yang sama.