Kia Grand Carnival – model diesel 2.2 CRDI untuk pasaran Malaysia didedahkan, tempahan kini dibuka

kia_grandcarnival_ext-1 BM

Kia Carnival generasi terbaru sudah pernah dijumpai di Malaysia, dan hari ini, di Malaysia Auto Show, Naza Kia mendedahkan spesifikasi serta perincian untuk model yang akan dijual di Malaysia awal tahun 2017, bersama kereta sebenar yang mengisi ruang utama bahagian pameran Kia.

Kia Carnival baru ini merupakan model generasi ketiga yang pertama kali diperkenalkan secara global di Amerika Syarikat pada tahun 2014 (juga dikenali sebagai Sedona). Bagi pasaran Malaysia, Naza Kia sebelum ini ada menjual Kia Carnival generasi pertama yang ditukar namanya kepada Naza Ria tetapi generasi kedua tidak dijual.

Bagi generasi ketiga ini, Naza Kia menamakannya sebagai Grand Carnival dan hanya satu varian sahaja yang akan dijual di Malaysia buat permulaan iaitu yang menggunakan enjin diesel turbo 2.2 CRDI VGT berkemampuan 193 PS pada 3,800 rpm dan 440 Nm tork pada 1,750 hingga 2,750 rpm. Enjin ini kemudiannya dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan.

Grand Carnival menyediakan lapan tempat duduk dan varian diesel yang dibawa ke Malaysia ini adalah daripada varian yang tertinggi, melihatkan penggunaan lampu siang LED, rim krom 19 inci dan lampu belakang dengan kombinasi LED. Turut disediakan adalah sistem kemasukan tanpa kunci, pintu gelongsor kuasa elektrik di kedua-dua belah dan pintu but belakang kuasa elektrik. Secara keseluruhannya, Grand Carnival berukuran 5,115 panjang, 1,985 lebar dan 1,755 tinggi. Ini adalah 40 mm lebih panjang berbanding model sebelumnya dan jarak roda pula adalah 3,060 mm.

Pada bahagian dalam, dua warna utama digunakan iaitu hitam dan coklat, melihatkan papan pemuka, panel pintu dan tempat duduk menggunakan warna tersebut. Bagi tempat duduk barisan kedua, ia boleh dilipat sehingga hampir tegak untuk akses ke ruang belakang, dan sekiranya lebih ruang barangan diperlukan, tempat duduk barisan ketiga juga boleh dilipat untuk menjadi rata.

Barangan lain yang ada pada Grand Carnival adalah butang pemula, cruise control, lampu hadapan dan pengelap cermin automatik, pengawal suhu automatik, sokongan belakang berkuasa elektrik pada tempat duduk, sambungan Bluetooth, pengesan jarak depan dan belakang, serta kamera undur.

Dari aspek keselamatan, Grand Carnival dilengkapi dengan enam beg udara, brek ABS, Electronic Stability Control (ESC), Traction Control System (TCS), Brake Assist System (BAS), Hill-start Assist Control (HAC), Electronic Brake Force Distribution (EBD) dan cangkuk ISOFIX.

Tempahan untuk Kia Grand Carnival kini sudah dibuka dan pemilik akan menerima jaminan selama lima tahun tanpa sebarang had catatan batuan, dengan syarat-syarat tertentu.

GALERI: Kia Carnival di pameran GIIAS 2016

GALERI: Kia Sedona pasaran Amerika Syarikat

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required