Treeletrik pamerkan barisan motosikal elektrik di Malaysia Auto Show, harga antara RM4.5k – RM20k

treeletrik-1-850x567-bm

Selari dengan langkah kerajaan untuk menggalakkan lebih banyak penggunaan kenderaan elektrik, Tree Movement Malaysia membawa pelbagai model motosikal elektrik ke pameran Malaysia Auto Show yang sedang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC). Ia terdiri daripada jenis skuter, fairing penuh dan juga motosikal berbumbung.

Model bernama T-220 kelihatan seperti sebuah motosikal fairing penuh biasa tetapi sebenarnya menggunakan motor elektrik 8 kW yang berada di dalam hab roda belakangnya. Ia dikatakan mahu memberi cabaran kepada motosikal biasa sekitar 500 cc tetapi beratnya sahaja sudah mencecah 300 kg. Sebahagian besarnya adalah disebabkan kehadiran pek bateri yang berada di tempat yang biasanya terdapat enjin bagi motosikal biasa.

Dengan setiap cas penuh baterinya (yang mengambil masa lima hingga enam jam menggunakan kuasa dari rumah biasa), motosikal elektrik ini dikatakan boleh pergi sehingga 120 km. Mengikut perancangan, ia akan dipasarkan tahun hadapan dengan harga sekitar RM20,000.

Bagi model skuter, terdapat dua model yang dipamerkan iaitu T-90 dan T-70, dan setiap satunya mempunyai dua pecahan model lagi. Kedua-dua model skuter ini juga menggunakan motor elektrik di dalam hab belakang dan bezanya cuma jumlah kuasa dan jenis bateri.

Bagi T-90, dua model yang disediakan menggunakan sama ada motor 5 kW dengan bateri lithium-ion 50 Ah 84 V, atau motor 3 kW dengan pek bateri Tree Gold 40 Ah 84 V. Waktu mengecas adalah antara lima hingga enam jam dan masing-masing boleh bergerak sehingga jarak 105 dan 85 km. Bagi model yang menggunakan bateri lithium-ion, beratnya adalah 115 kg tetapi bagi model yang menggunakan bateri Tree Gold, ia lebih berat, mencatat 178 kg. Harga yang ditetapkan pula adalah RM9,900 untuk model bateri lithium-ion dan RM8,800 untuk model bateri Tree Gold.

Terletak bawah pada model ini adalah skuter T-70, yang juga didatangkan dalam dua pecahan model lagi. Keuda-duanya datang dengan motor elektrik dalam hab 1.5 kW sama tetapi pek baterinya adalah berlainan- lithium-ion ataupun Tree Gold. T-70 dengan bateri lithium-ion dan kemampuan bergerak sehingga 90 km dijual pada harga RM5,600 manakala T-70 dengan bateri Tree Gold dan jarak bergerak 60 km dijual pada harga RM4,500. Berat masing-masing adalah 78 kg dan 90 kg.

Di kawasan pameran Treelektrik juga terdapat dua buah motosikal elektrik berbumbung; satu dengan empat tayar dan satu lagi menggunakan tiga tayar. Model empat tayar tersebut dinamakan sebagai T-Vantage, mampu bergerak sehingga 100 km apabila dicas penuh dan mempunyai kelajuan maksimum antara 70 ke 80 km/j. Bukan setakat itu, ia juga dilengkapi dengan sistem pendingin hawa, kamera undur dan sistem stereo. Harganya diletakkan dalam lingkungan RM25,000 hingga RM27,000.

Model yang mempunyai tiga tayar pula dipanggil sebagai T-2000 dan mempunyai bahagian dalam yang sama dengan T-Vantage. Selain beza jumlah tayar dan pengawal seperti motosikal, model ini juga tidak dilengkapi dengan sistem stereo, pendingin hawa dan kamera undur seperti T-Vantage. Walaubagaimanapun, ia masih mempunyai tempat duduk belakang dan pengelap cermin belakang.

Menurut ketua pegawai operasi Tree Movement Malaysia, Tony Yap, motosikal elektrik Treelektrik didaftarkan di bawah klasifikasi kenderaan jenis ‘L’ dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan ia memerlukan lesen B2 untuk ditunggang. Cukai jalan pula hanyalah RM2.




Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

  • Osman on Apr 13, 2017 at 2:18 am

    Mcm mana sy ingin membeli mto tayar 3 tu…n bolh byr ansuran tsk

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required