hyundai-creta-stc-2-e1479098910804-850x405

Dengan perkembangan terbaharu ini, nampaknya Hyundai kelihatan sangat serius untuk memasuki pasaran trak pikap dunia; jenama dari Korea itu memperkenalkan model Hyundai Creta STC ketika pameran automotif Sao Paolo 2016, Brazil. Ia sebuah model konsep trak pikap terbaharu yang dihasilkan, mengikut jejak langkap pengenalan model konsep Santa Cruz di Detroit sebelum ini.

Ia diasaskan daripada model cross-over segmen B sebelum ini, Hyundai Creta. STC yang terpampang pada namanya bermaksud Sport Truck Concept, dengan dimensi 4.65 meter panjang 1.85 meter lebar dan 1.63 meter tinggi, dengan jarak antara roda 2.8 meter.

Jika dibandingkan dengan model Creta, trak pikap ini 38 cm lebih panjang dan 7 cm lebih lebar, sementara jarak antara rodanya ialah 21 cm lebih panjang. Dalam warna hijau terang, ia kelihatan sangat menyerlah dengan lampu utama LED yang lebih tirus, juga rekaan gril baharu yang menonjol. Di belakang, reka bentuk lampu LED sekali lagi memberikan imej yang segar.

Trak konsep ini menjadi lebih unik dengan penggunaan suicide doors. Ruang barangan di belakang pula berkeluasan 1.30 meter panjang, 1.29 meter lebar dengan kedalaman 0.51 meter. Belum ada perincian spesifikasi yang didedahkan. Namun begitu, jika pada model Creta sebelum ini, ia menggunakan enjin 1.6 liter dan 2.0 liter petrol serta enjin diesel 1.4 liter dan 1.6 liter sebagai pilihan. Semuanya dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan.