tcity-03

Perak bakal menjadi negeri pertama yang membangunkan perbandaran bersepadu moden bertemakan sukan permotoran tidak lama lagi. Dikenali sebagai T-City, projek mega bertaraf antarabangsa itu akan dibangunkan oleh Goodland Group Limited dan Citrine Capital Pte Ltd, di tapak seluas 184.5 hektar.

Dengan jangkaan nilai pembangunan kasar (DGV) RM15.1 bilion, pembangunan perbandaran bersepadu moden itu bakal memantapkan kedudukan Perak dan sekali gus menjana pertumbuhan berganda ekonomi negeri serta negara.

Menurut Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, projek yang dirancang sejak tiga tahun lalu itu turut disokong Majlis Ekonomi Negara, dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri mahu ia berjaya, laporan Bernama.

“T-City menerapkan konsep bandar pintar, melibatkan tiga fasa pembangunan dengan lima tunjang utama termasuk kemudahan sukan permotoran dan hab hiburan. Tunjang lain termasuk pusat automotif, rangkaian perusahaan runcit dan makanan, hotel dan pangsapuri perkhidmatan serta kondominium,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek T-City, semalam.

Menurut Zambry lagi, fasa pertama projek melibatkan kawasan seluas 80.9 hektar, yang antara lain meliputi pembinaan litar perlumbaan Formula 2 (F2) pertama di Malaysia, yang dijangka dibuka Jun depan.

Projek ini dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 15 ke 20 tahun dan berharap ia dapat mengadaptasi perubahan pantas pasaran dunia.