yamaha-kuantan-bm-15

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) Sdn Bhd baru sahaja membuka sebuah pusat gaya hidup Yamaha di Kuantan, Pahang, demi memberikan servis yang lebih baik kepada penggunanya di sana. Pusat ini digelar sebagai Yamaha Lifestyle Point dan adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Menurut pengarah urusan HLYM, Datuk Jim Khor, pusat ini dibuka untuk memberikan sokongan servis selepas jualan, alat ganti dan jualan barangan rasmi Yamaha. Selain itu, ia juga menempatkan pusat latihan dan pengetahuan bagi pengedarnya dan mempunyai ruang yang luas untuk pemilik motosikal Yamaha mengadakan aktiviti di situ. Satu perkara yang tidak dilakukan di pusat ini adalah jualan motosikal kerana HLYM menyerahkan tugas ini kepada pengedarnya.

yamaha-kuantan-bm-4

Pada bahagian pameran, selain motosikal, HLYM turut meletakkan barangan Yamaha Music dan pelbagai jentera lain termasuk jet ski dan ATV. Model yang dipamerkan adalah model yang terbaru dan HLYM akan memastikan tempat ini sentiasa menarik dan menjadi perhatian kepada orang ramai.

Tambah Jim, HLYM akan membuka lebih banyak pusat seperti ini dan ia akan membawa imej korporat baru Yamaha. Selain ruang dalam bangunan, mereka juga melihat kepada ruang yang luas di bahagian luar supaya pemilik dapat melakukan aktiviti di sini. Oleh sebab itu, ia akan mengambil sedikit masa kerana bukan semua fasiliti yang mereka ada sekarang mempunyai kriteria tersebut.

Bagi yang pertama ini, ia terletak di Lot 27, Lorong Padang Lalang 8, 25050 Kuantan, Pahang. Ia dibuka dari hari Isnin hingga Jumaat, jam sembilan pagi hingga enam petang. Sabtu, Ahad dan cuti umum, ia ditutup.