GALERI: Impresif Proton Perdana, Persona, Saga 2016

proton_perdana_persona_saga-14

2016 merupakan tahun yang boleh dikatakan cukup bermakna buat Proton. Biar pun dibelenggu kemelut masalah kewangan sehingga terpaksa memohon bantuan pinjaman bernilai RM1.5 bilion daripada kerajaan, namun pengeluar kenderaan nasional pertama negara ini gigih mengatur langkah agresif. Ini termasuklah telah melancarkan tiga model baharu iaitu Perdana, Persona dan Saga. Manakala satu lagi merupakan model hasil kerjasama di antara Proton dan Suzuki, iaitu Proton Ertiga yang bakal dilancarkan penghujung bulan ini.

Jun lalu, Proton telah melancarkan model Perdana 2016 dengan menampilkan dua varian iaitu Perdana 2.0 dan Perdana 2.4. Ia ditawarkan pada harga atas jalan (termasuk GST dan insurans) RM113,888 bagi varian 2.0. Manakala 2.4 pula berharga RM138,888. Kedua-duanya turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun atau 150,000 km (yang mana tiba terlebih dahulu).

Seperti yang sedia maklum, Proton telah menjalinkan usahasama dengan Honda bagi ‘melahirkan’ Perdana 2016 ini. Di mana Perdana 2016 ini dibina berasaskan model Honda Accord (CP)2007. Kalau diikutkan, ia merupakan konsep ‘rebadged’ yang diberikan suntikan tersendiri bagi rekaan luarannya, namun masih menggunakan elemen yang sama bagi organ dalam hudnya termasuk penjana kuasa dan transmisi.

Di mana Perdana 2.4 digandingkan dengan enjin Honda K24Z 2.4 liter i-VTEC DOHC empat-silinder untuk varian 2.4L dengan kuasa sehingga 178 hp pada takat 6,500 rpm dan tork puncak 222 Nm pada takat 4,300 rpm. Manakala varian 2.0L dengan enjin Honda R20A 2.0 liter i-VTEC SOHC empat-silider dengan hamburan kuasa 154 hp pada takat 6,300 rpm dan tork sehingga 189 Nm pada takat 4,300 rpm. Kedua-dua varian ini juga menggunakan kotak gear automatik lima-kelajuan, juga dari Honda.

Pada bulan Ogos lalu pula, giliran Proton Persona 2016 pula dilancarkan. Dengan perubahan imej yang boleh dikatakan agak drastik, Persona 2016 ini juga boleh dianggap sebagai Iriz versi sedan. Senarai pilihan bagi variannya adalah Persona 1.6 Standard (MT) yang berharga RM46,350, Persona 1.6 CVT (RM49,350), Persona 1.6 Executive CVT (RM55,350-solid/RM55,800-metalik) dan Persona 1.6 Premium CVT (RM59,350-solid/RM59,800-metalik).

Persona 2016 ini hadir dengan enjin 1.6 liter VVT petrol dengan teknologi injap bervariasi (Variable Valve Timing atau VVT), penggunaan bahan api pada enjin ini didakwa mampu memberikan penjimatan sekitar 10% bagi versi transmisi automatik dan 13% bagi versi transmisi manual (dengan purata kelajuan pemanduan 90 km/j), jika dibandingkan dengan Persona generasi terdahulu yang dilengkapi enjin 1.6 liter Campro IAFM.

Enjin yang digunakan secara mekanikalnya sama dengan enjin 1.6 liter pada Proton Iriz berkuasa 107 hp pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 4,000 rpm. Angka kuasa mungkin kelihatan sama, tetapi menurut Proton ia telah ditala agar sesuai bagi penggunaan sebuah sedan. Begitu juga dengan kotak gear CVT, walaupun ia diambil terus dari Iriz, tetapi ia telah ditala semula agar lebih lancar dan linear ketika memecut.

Tidak mahu menunggu lama untuk memperkenalkan ‘buah tangan’ baharunya, Proton melancarkan Saga 2016 pada September lalu. Empat varian ditawarkan untuk model baharu bermula dengan varian asas 1.3L Standard manual (RM36,800) dan 1.3L Standard CVT (RM39,800), varian pertengahan 1.3L Executive CVT (RM42m800) serta varian tertinggi 1.3L Premium CVT (RM45,800).

Saga 2016 ini dijana enjin 1.3 liter VVT yang diambil dari Iriz berkuasa 94 HP dan tork maksima 120 Nm, menggantikan enjin 1.3 liter Campro IAFM+ pada model sebelum ini. Hanya varian standard menerima pilihan kotak gear manual lima-kelajuan dan CVT automatik, manakala varian lain hanya dipadankan dengan transmisi CVT.

Di bawah ini lambakan galeri barisan model baharu yang telah dilancarkan oleh Proton khas untuk tatapan anda. Malah ketiga-tiga model tersebut juga telah kami pandu uji untuk mengetahui dan membongkarkan prestasi, kelebihan dan kelemahannya. Untuk mengetahui ulasan pandu uji tersebut, sila klik pada pautan berikut iaitu Perdana 2016, Persona 2016 dan Saga 2016. Dan jangan lupa, nantikan kemunculan Proton Ertiga yang dijangka bakal dilancarkan sebelum Disember 2016 mengambil tempat.

GALERI: Proton Perdana 2016

GALERI: Proton Persona 2016

GALERI: Proton Saga 2016

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required