Mercedes-AMG C 63 S Coupe tiba dipasaran Malaysia – RM795,888 untuk versi Edition 1, 510 hp, 700 Nm

mercedes-amg-c-63-s-coupe-launch-1

Belum lagi sampai sebulan Mercedes Benz Malaysia (MBM) melancarkan SUV Mercedes-AMG G 63, hari ini sebuah lagi model AMG sebenar dilancarkan iaitu Mercedes-AMG C 63 S Coupe. Apa yang lebih menarik, MBM turut membawa varian istimewa Edition 1.

Untuk model Mercedes-AMG C 63 S Coupe, ia dijual pada harga RM 773,888 manakala untuk model istimewa Edition 1 pula, ia dijual pada harga RM795,888. Kesemua harga dinyatakan adalah harga atas jalan tidak termasuk insuran.

Dari segi platform dan kerangka, model berperetasi tinggi ini adalah sama seperti model sedan Mercedes-AMG C 63 S yang dilancarkan oleh MBM untuk pasaran tempatan kira-kira setahun yang lalu, tetapi model hadir dalam kerangka coupe dua pintu yang lebih mengujakan.

Muka hadapan model ini adalah seiras dengan model sedannya, menampilkan bonet hadapan dengan garisan yang lebih tegap, gril hadapan “bilah berkembar”, sepasang lampu hadapan intelligent LED dan juga bampar hadapan dengan liang kemasukan berbentuk tulang.

mercedes-amg-c-63-s-coupe-launch-2

Pada bahagian belakang, ia bukan sekadar merubah konfigurasi pintu dari empat kepada dua. Tiang-C pada model coupe ini lebih landai serta bahagian butnya pula lebih bulat serta diberikan spoiler lip yang berfungsi memberikan daya tekanan ke bawah. Lampu belakang juga adalah berlainan sepenuhnya dimana model coupe ini menampilkan lampu two-piece melintang.

Diffuser belakang turut diberikan pada bahagian bawah bampar, yang direka diinspirasikan dari S-Class Coupe, memberikan aliran udara bahagian belakang yang lebih baik. Bahagian ini juga turut menempatkan tip sistem ekzos AMG berkembar.

Selain dari bayangan badan yang begitu anggun pada profil sisi, model coupe ini turut dipadankan dengan rim aloi AMG berdiameter 19-inci dengan kekemasan hitam matte. Khas untuk model Edition 1, ia diberikan rim berdiameter 20-inci pada bahagian belakang. Tayar bersaiz 255/35R19 membaluti rim hadapan manakala tayar bersaiz 285/30R19 diletakkan pada rim belakang. Untuk Edition 1, rim belakangnya disaluti tayar 285/30R20.

Model ini hadir standard dengan pakej gentian karbon dan Night Package AMG. Khas untuk model Edition 1 yang diinspirasikan dari jentera perlumbaan sebenar Mercedes-AMG C 63 coupe DTM, pelanggan diberikan dua pilihan tema luaran berbeza. Pertama, ia diberikan jalur badan dan serlahan pada bibir rim berwarna kelabu grafit kusam. Tayar sport dan sistem brek kompaun berprestasi tinggi ditawarkan sebagai opsyen untuk versi ini.

mercedes-amg-c-63-s-coupe-launch-29

Versi kedua, ia diberikan skema warna kelabu designo magno selenite kusam dilindungi filem penapis berwana kuning – tema yang sama ditampilkan pada versi pelancaran C 63 DTM. Jalur badan berwarna kuning diberikan pada bonet hadapan, bumbung, but belakang, panel sisi serta serlahan warna yang sama pada bibir rim.

Kedua-dua versi Edition 1 ini menerima pakej AMG Aerodynamics yang terdiri dari spoiler hadapan, diffuser belakang dan berberapa perincian kecil yang kesemuanya diwarnakan dengan warnakan dengan hitam berkilat.

Sebagai model dengan lencana S, ia dijana oleh enjin V8 M177 4.0 liter turbo berkembar berkuasa 510 hp pada takat 5,500 hingga 6,250 rpm dan tork maksima 700 Nm bermula 1,750 hingga 6,250 rpm. (Enjin yang sama pada model standard hanya berkuasa 476 hp/650 Nm).

Kesemua kuasa berkenaan dihantar ke roda belakang menerusi kotak gear automatik sport AMG Speedshift MCT tujuh kelajuan. Sebagai model dengan lencana S juga, gandar belakang coupe ini diberikan LSD elektronik, berbanding LSD mekanikal pada model standard.

mercedes-amg-c-63-s-coupe-launch-27

Gabungan sistem janakuasa ini membolehkan C 63 S Coupe ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 290 km/j. Penggunaan bahan api pula dicatatkan pada 8.9 l/100km pada kitaran ujian NEDC.

Turut diberikan bersama pada model S ini adalah mod Race pada suis mod pemanduan AMG Dynamic Select. Dengan mod ini, kesemua kuasa dan larasan pada suspensi, stereng, pendikit serta penukaran gear akan diberikan pada tahap paling agresif.

Coupe ini juga dipadankan dengan sistem suspensi sport boleh laras tiga-peringkat AMG Ride Control, membolehkan kerangka jentera ini masih boleh dikawal dengan selamat walaupun dengan jumlah kuasa yang agak liar.

Bahagian dalaman, ia masih menampilkan susunan asal papan pemuka C-Class tetapi penuh dengan elemen perlumbaan. Upholsteri keseluruhan diberikan balutan kulit Nappa, kemasan-kemasan gentian-karbon AMG, tempat duduk berprestasi tinggi AMG, papan pemuka dengan kulit hitam Artico, panel bendul AMG dengan lampu LED putih dan karpet lantai AMG.

Untuk bahagian dalaman Edition 1, ia diberikan jahitan kuning pada tempat duduk, panel pintu, perehat tangan, dan roda stereng. Tempat duduk model istimewa ini juga diberikan tempat duduk dengan sokongan lebih baik, roda stereng balutan gentian mikro Dinamica dan kemasan karbon kusam pada konsol tengah.

Sistem infotainmen untuk model ini masih mengekal sistem Comand Online dengan pemain DVD dan sistem audio Burmester. Ia turut diberkan kamera 360.

Untuk keselamatan, model ini diberikan sistem Distronic Plus dengan bantuan stereng dan Stop&Go Pilot, Parktronic, bantuan titik buat aktif, bantuan kekal laluan aktif, Cross Traffic Assist dan pelbagai lagi.

GALERI: Imej Rasmi Mercedes-AMG C 63 S Coupe

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required