Jualan kenderaan Oktober 2016 mengikut jenama – Proton catat peningkatan 26%, Perodua kekal teratas

proton-saga-premium-drive-6-bm

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, data jualan kenderaan bagi bulan Oktober 2016 yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan penurunan yang berterusan, jika dibandingkan dengan bulan Ogos dan September lalu. Melihat kepada pecahan jenama-jenama yang ada, walaupun di dalam suasana pasaran yang menguncup, tetapi ada beberapa jenama yang mencatatkan peningkatan.

Sebagai contoh, Proton antara yang mencatatkan peningkatan dan dalam masa sama, mengekalkan kedudukannya di tempat ketiga, mengatasi Toyota. Pengeluar kenderaan nasional itu mencatatkan kenaikan 26% jumlah jualan, daripada 6,062 unit pada September kepada 7,640 unit bagi Oktober. Pengenalan model baharu Saga berkemungkinan besar menjadi faktor bagi perkembangan positif ini.

Sementara itu, Perodua juga masih kekal di tempat teratas carta, walaupun mencatatkan penurunan jualan sebanyak 5.8%; jenama itu menjual 16,148 unit, 999 unit berkurangan jika dibandingkan dengan jualan September 2016. Angka terbaharu ini mencatatkan jumlah jualan keseluruhan Perodua setakat ini pada angka 167,037 unit bagi 2016.

october-2016-malaysia-car-sales-data

Bagi pengeluar kenderaan bukan nasional pula, Honda berjaya merekodkan peningkatan jualan sebanyak 9.4%, membantunya kekal ditangga kedua dengan 8,204 unit terjual pada Oktober. Jenama Jepun lain seperti Toyota, Nissan, Mitsubishi, Mazda dan Subaru semuanya mencatatkan penurunan; Subaru misalnya susut sehingga 25.3%.

Mercedes-Benz pula beranjak ke kedudukan kelapan dari kedudukan keenam pada September lalu akibat penurunan jualan 20.5%; hanya 940 kereta dijual sepanjang Oktober berbanding 1,183 unit pada bulan sebelumnya.

BMW dan Audi sebaliknya memperlihatkan peningkatan; 20 unit dan 10 unit masing-masing. Bagaimanapun, sebuah lagi jenama pengeluar Jerman, Volkswagen, mencatatkan penurunan jualan sehingga 50%; cuma 203 unit kenderaan dijual berbanding 406 unit pada September lalu.

Dari segi jualan setakat ini bagi 2016, Perodua terus mendahului dengan 167,037 unit, diikuti Honda (71,466 unit), Proton (57,731 unit), Toyota (50,020 unit), Nissan (32,852 unit) dan Mazda dengan 11,088 unit.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required