rezvani-beast-alpha-ext-10

Syarikat yang beroperasi di California iaitu Rezvani, telah mengeluarkan kenderaan terbaru mereka digelar Beast Alpha. Ia sebenarnya boleh dianggap sebagai versi hardtop bagi model tahun lepas dan kini dilengkapi dengan bumbung gaya Targa dan pintu gelungsur ‘SideWinder’.

Praktikaliti pintu seperti ini, melihat cara ia dibuka masih tidak dapat dipastikan, tetapi yang pasti, memberi karekter unik pada Beast Alpha. Badan dengan gaya menarik ini dipadankan dengan enjin K24 2.4L DOHC daripada Honda, dengan pengecas turbo. Kuasa sebanyak 500 hp mampu dihasilkan oleh enjin ini dan transmisi yang digunakan adalah manual enam kelajuan.

Berat Beast Alpha hanya 884 kg, dan ini membolehkan ia membuat pecutan 0-96 km/j (0-60 bsj) dalam masa 3.5 saat sahaja, dengan kotak gear manual. Jika unit yang dilengkapi kotak gear automatik, ia boleh mencatat 0.3 saat lebih pantas.

Masuk ke bahagian dalamnya, anda akan disambut dengan bahagian yang sama ada dibalut dengan kulit atau Alcantara. Walaupun adalah sebuah kenderaan prestasi, pengguna juga dapat menikmati kelengkapan yang menjamin keselesaan seperti tingkap kuasa elektrik, pendingin hawa serta sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Bagi informasi operasi kenderaan, paparan digital seperti kenderaan lumba digunakan.

Rezvani Beast Alpha ini sudah tentu bukan sembarangan kereta kerana harganya sahaja sudah USD200,000 (RM881,530). Jika wang bukan satu hal, anda fikir ia berbaloi?