vip_bm

Pada Jun lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai telah meluluskan pemohonan Jawatankuasa Pelancongan Dan kebudayaan negeri Pahang untuk menggunakan nombor pendaftaran khas siri VIP 1 hingga VIP 9 sempena Tahun Melawat Pahang 2017 (TMP2017).

Walau bagaimana pun, sehingga kini, nombor pendaftaran khas terbabit masih belum diluluskan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), laporan Bernama.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, proses penjualan tidak boleh dimulakan sehinggalah penggunaan nombor pendaftaran istimewa itu diwartakan pihak berkuasa.

“Bila selesai proses mewartakan, kita akan mengadakan sistem membida. Siapa (membida) paling tinggi, dia akan mendapat nombor tersebut. Hasil penjualan itu akan membantu dalam mempromosi dan menjayakan TMP2017,” katanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang hari ini, bagi menjawab soalan Lee Chean Chung (PKR-Semambu) yang ingin tahu status terkini permohonan nombor pendaftaran itu.

Berhubung jumlah dana yang akan diperoleh daripada penjualan nombor pendaftaran itu, Mohd Sharkar berkata perkara itu hanya boleh diketahui selepas proses penjualan tamat pada 31 Dis 2017.

“Ini adalah inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan untuk menjana pendapatan bagi menjayakan TMP2017 dengan meminimumkan penggunaan duit rakyat dan kita bernasib baik kerana dapat memikirkan cara ini bagi menyokong TMP2017,” katanya.

Sebelum ini iaitu pada Ogos lalu, bidaan untuk “VIP” ini dikatakan dijalankan oleh Jawatankuasa Pelancongan Dan kebudayaan negeri Pahang sendiri menerusi syarikat yang dikenali sebagai Digital Tourism. Walau bagaimana pun, sehingga kini, statusnya masih menjadi tanda tanya memandangkan ia belum mendapat kelulusan JPJ sendiri.