mitsubishi-asx-3-850x478-bm

Sudah enam tahun sejak Mitsubishi ASX pertama kali diperkenalkan kepada pasaran, dan masanya sudah tiba untuk ia diberikan pembaharuan, walaupun pengeluarnya begitu pandai menyimpan rahsia. Walaubagaimanapun, jurugambar Eropah kami berjaya menangkap generasi seterusnya bagi SUV kompak ini sewaktu ia sedang menjalani ujian. Sebelum ini ia juga pernah dilihat di Amerika Syarikat.

Walaupun penuh dengan pelekat, ASX baru ini jelas menggunakan inspirasi rekaan daripada model konsep XR-PHEV, namun sudah pasti ia akan lebih disesuaikan untuk model produksi. ‘Muka’ hadapan kenderaan ini nampak lebih agresif dan kita boleh melihat garis luar gril Dynamic Shield Mitsubishi.

Sepanjang sisinya, garis karekter tinggi dan cermin belakang yang menjunam XR-PHEV dibawa kepada model ini, dengan perubahan untuk versi produksi dapat dilihat pada cermin sisi, pembuka pintu, tingka berangka dan pintu yang lebih besar. Bahagian hujung belakangnya tinggi dan menampilkan penggunaan cermin belakang terpisah, seperti Prius.

mitsubishi-asx-12-850x537-bm

Bahagian dalam kenderaan ini juga dapat dilihat, di mana tengah papan pemukanya menggunakan rekaan bertingkat, hampir seperti Lexux NX dan kemudiannya disertai unit skrin sesentuh di atasnya. Bawah sedikit, ASX akhirnya mendapat pengawal suhu dengan suis yang diambil daripada Outlander. Stereng tiga kaki dan pedal penukar gear di stereng pula nampak sama seperti sebelum ini.

ASX baru ini dijangka ditawarkan dengan enjin diesel dan petrol yang biasa, bersama enjin plug-in-hybrid daripada XR-PHEV yang menggunakan enjin petrol tiga silinder 1.1 liter turbo bersama motor elektrik 120 kW dan bateri 12 kWh. Juga boleh dijangka adalah model hibrid yang akan mengambil nama Evolution daripada barisan model Lancer.