AES_Camera

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi berkata, saman untuk Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dikurangkan dari RM300 kepada RM150 setelah pindaan undang-undang berkenaan dibuat dan bakal dibentangkan di Parlimen Mac tahun hadapan, menurut laporan The Sun Daily.

Aziz menyatakan pindaan undang-undang berkenaan adalah penting untuk implementasi fasa kedua AES, dan menambah penyeragaman saman trafik yang dikeluarkan oleh polis trafik adalah penting untuk implementasi sistem demerit Kejara, yang turut menghubungkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta pihak polis.

Sementara menunggu undang-undang baru AES untuk diwartakan, implementasi sistem Kejara mungkin akan ditangguhkan sehingga ke tahun hadapan. Kedua-dua sistem ini merupakan sebahagian dari Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).

camera-trap-speed

Aziz turut menjelaskan mengenai kenyataan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai minggu lalu, yang menyatakan bahawa jumlah bayaran saman RM150 berkenaan hanya diskaun kompaun bagi pesalah trafik untuk menjelaskan 2.5 juta saman tertunggak dikeluarkan melalui sistem AES sejak 2012.

“Tawaran diskaun ini bermula sekarang, untuk tempoh enam bulan akan datang. Selepas tempoh berkenaan, sesiapa yang masih tidak membayarnya akan dihadapkan ke mahkamah.” kata beliau. Tambah beliau lagi, kementerian tidak menolak cadangan yang akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menubuhkan mahkamah khas bagi menyelesaikan tunggakan kes AES masih belum dijelaskan dalam tempoh empat tahun yang lalu.

Oleh itu, denda RM300 berkenaan masih lagi kekal untuk kesalahan yang dikeluarkan oleh AES sehingga undang-undang sedia ada dipinda. “Kementerian Pengangkutan menyatakan bahawa kabinet telah bersetuju untuk mengurangkan saman kepada RM150. Adakah Seksyen 79 (2) Akta berkenaan sudah dipinda? Saya rasa tidak,” kata Aziz.