thai hsr render 1

The State Railway of Thailand telah menghantar surat kepada pihak berkuasa kereta api Malaysia, menyatakan hasrat untuk memulakan perbincangan tentang kebolehlaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Bangkok dan Kuala Lumpur.

Menurut gabenornya, Wuttichart Kanlayanamit, surat tersebut dihantar pada minggu lepas.

“Menjelang hujung minggu ini, segala butiran bakal diperoleh tentang tempat dan tarikh perbincangan itu akan diadakan, sama ada di Malaysia atau Thailand,” katanya kepada Bernama.

Beliau yakin dengan potensi projek HSR itu yang akan menghubungkan kedua-dua bandar raya tersebut.

Wuttichart berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai pengumuman Menteri Pengangkutan Thailand Arkom Termpittayapaisith pada minggu lepas bahawa perbincangan antara Malaysia dan Thailand mengenai kebolehlaksanaan projek HSR sejauh 1,400 kilometer akan diadakan tidak lama lagi.

Menurutnya, projek HSR itu akan memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar tersebut kepada enam jam, sambil menambah perbincangan tersebut akan bermula pada peringkat pegawai sebelum ia diteruskan ke peringkat menteri.

Projek HSR tersebut dibangkitkan semasa mesyuarat rundingan tahunan Malaysia-Thailand di sini pada September, yang mana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya di Thailand Jen Prayut Chan-o-cha bersetuju untuk menjalankan satu kajian daya maju mengenai cadangan tersebut.

Najib berkata projek HSR itu akan melengkapkan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura.