LRT-rail-pix-Bernama_PT_BM

Rapid Rail Sdn Bhd telah mengumumkan, mulai 1 Disember 2016 ini, pengguna perkhidmatan Rapid KL Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang boleh menikmati perjalanan terus dari stesen Ampang ke Sentul Timur tanpa perlu lagi menukar tren di stesen Chan Sow Lin.

Di mana kerja-kerja menaik taraf sistem isyarat atau terma teknikalnya Communication-Based Train Control (CBTC) untuk keseluruhan Laluan Ampang dan Sri Petaling bagi kegunaan tren AMY baharu enam gerabak, telah pun siap.

Menurut CEO syarikat berkenaan Datul Zohari Sulaiman, mulai tarikh tersebut, keseluruhan Laluan Sri Petaling dan Ampang akan menggunakan tren AMY enam gerabak. Tren Adtranz yang digunakan sejak 1996 untuk laluan Ampang kini akan ditamatkan perkhidmatan sepenuhnya, laporan Bernama.

Rapid Rail merupakan anak syarikat Prasarana, mengendali Rapid KL LRT Laluan Ampang, Sri Petaling, Kelana Jaya, Monorail dan MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang, yang akan memulakan Fasa 1 antara Sungai Buloh dan Semantan pada 16 Dis.

Prasarana memperoleh sebanyak 50 tren baharu enam gerabak dari CRRC Zhuzhou Electric Locomotive, China untuk LRT Laluan Ampang dan Sri Petaling termasuk 11 stesen baharu yang dibina di bawah Projek Penyambungan Jajaran LRT (LEP).

Sehingga kini, 45 set tren telah dihantar kepada Rapid Rail dengan lima set lagi sedang dipasang di kilang CRRC di Batu Gajah, Perak dan dijangka diserahkan secara berperingkat menjelang Januari tahun depan.