Bagi menyambut ulang tahun ke 50 Ferrari di Jepun, jenama Itali tersebut mengeluarkan sebuah model khas yang dinamakan J50. Seperti juga F60 America, kenderaan edisi terhad ini hanya akan dihasilkan sebanyak 10 unit, dan mengikut tradisi model siri fuori Ferrari, setiap satunya akan menggunakan perincian khas seperti yang dimahukan pelanggan.

Ferrari J50 menggunakan asas daripada 488 Spider, mengekalkan enjin 3.9 liter twin turbo, tetapi mempunyai lebihan kuasa sebanyak 20 PS, menjadi keseluruhannya 690 PS. Ferrari tidak mengeluarkan sebarang perincian prestasi tetapi apa yang boleh dijangka, ia pastinya boleh mencatat pecutan dan kelajuan maksimum lebih tinggi.

Walaubagaimanapun, kelajuan bukanlah sesuatu yang menjadikan model ini istimewa, tetapi adalah rekaannya. Menurut Ferrari, rekaan badan yang digunakan pada J50 ini adalah serba baru dan “membawa konsep rekaan futuristik radikal”. Ini bagaikan memberi petanda konsep rekaan tersebut mungkin akan digunakan pada model masa hadapan Ferrari.

Bahagian hadapan Ferrari J50 dilihat menjunam lebih rendah ke bawah dan mempunyai ruang saluran udara gentian karbon, bersama lampu utama LED yang nipis. Terdapat juga kemasan garis hitam yang bermula sepanjang garisan bonet hadapan, bersambung ke tepi pintu dan saluran udara di tepi.

Bahagian lain yang menjadi tumpuan adalah cermin pintu yang lebih menjunam dan mempunyai garisan yang bersambung ke bonet, yang mana kini lebih rendah pada bahagian tengahnya. Pada bahagian belakang, penutup lutsinar daripada polycarbonate menampakkan bahagian enjin dan berbentuk membonjol.

Ini adalah antara pembangunan ciri aerodinamik yang diguna pada J50 dan udara boleh mengalir terus ke spoiler belakang. Pada bahagian lain, radiator pula diletakkan lebih hampir dan diffuser belakang mempunyai rekaan baru yang menjadikan ia nampak lebih tegap.

Kemasan akhir lain yang ada termasuk lampu belakang empat bulatan yang membawa kembali rekaan seperti Ferrari 360 dan rim 20 inci khas untuk model edisi terhad ini. Di dalam, kemasan khas digunakan untuk tempat duduk, dan tiada bumbung lipat mekanikal seperti model asasnya. Sebaliknya, pemilik akan mendapat bumbung gentian karbon berasingan.