Bagi mencapai sistem pengangkutan awam terutamanya tren yang lebih efisien di negara ini, Kementerian Pengangkutan menyarankan agar penyedia perkhidmatan terbabit mempertingkatkan kekerapan tren kepada 90 saat atau 1.5 minit pada masa akan datang.

Menurut menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, pengalamannya semasa lawatan ke Moscow, Russia baru-baru ini, kekerapan sistem pengangkutan Transit Aliran Massa (MRT) di negara itu ditetapkan pada 1.5 minit dengan keupayaan membawa 8.5 juta penumpang setiap hari, laporan Berita Harian.

“Dengan kekerapan tren pada setiap 1.5 minit, orang awam yang menggunakan pengangkutan tersebut di negara berkenaan tidak perlu menunggu lama. Justeru, kita juga berharap dapat mencapai sasaran berkenaan pada suatu hari dan ia juga adalah sebahagian daripada transformasi dalam pengangkutan awam negara,” ujarnya ketika berucap dalam majlis makan malam Kementerian Pengangkutan semalam.

Dalam masa yang sama, beliau turut memberi contoh, kekerapan perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTM) berjaya ditambah baik daripada sejam kepada setengah jam dan yang terbaharu ialah 15 minit. Malahan melalui pelaksanaan Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT), tempoh menunggu komuter akan disingkatkan kepada 7.5 minit menjelang 2019 dan dikurangkan lagi kepada 3.5 minit.