Tinggal beberapa hari sahaja lagi kalendar 2016 akan bertukar ke 2017. Pastinya ramai di antara kita yang merancang untuk pergi bercuti atau pulang ke kampung halaman. Apatah lagi hujung minggu ini dan minggu hadapan melibatkan cuti yang agak panjang, sementelah cuti persekolahan masih berlangsung.

Dijangkakan lebuhraya utama di negara ini akan mengalami peningkatan trafik dan pastinya mengundang kesesakan kerana kesempatan cuti panjang ini mendorong orang ramai untuk ke destinasi pilihan. Ini termasuklah Lebuhraya Utara-Selatan.

“PLUS menjangkakan jumlah kenderaan yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan akan meningkat sebanyak 14% iaitu sebanyak 1.6 juta purata kenderaan sehari pada waktu puncak menjelang cuti perayaan Hari Krismas dan Tahun Baharu 2017 berbanding dengan hari biasa iaitu sebanyak 1.4 juta kenderaan, memandangkan hari cuti tersebut bersambung dengan hari minggu dan cuti sekolah hujung tahun,” ujar Pengarah Urusan PLUS, Dato’ Noorizah Hj Abd Hamid.

Justeru, PLUS menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan mereka sempena sambutan Hari Krismas dan Tahun Baru 2017 yang akan datang berdasarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan oleh syarikat konsesi ini.

Jadual TTA terdiri daripada cadangan perjalanan berperingkat mengikut masa dan destinasi tertentu dari Lembah Klang ke negeri-negeri dan bandar-bandar utama di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Langkah ini bertujuan untuk mengagihkan trafik dan mengurangkan kesesakan di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza-plaza tol dan kawasan rehat pada waktu-waktu puncak.

Menurut jadual TTA, pengguna dari Lembah Klang ke Perlis dan Kedah dicadang memasuki lebuh raya bermula 6 pagi hingga 10 pagi manakala waktu sesuai ke Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Perak (Tengah) adalah 10 pagi hingga 6 petang.

Bagi mereka yang menuju ke Perak (Selatan) dan Selangor disaran bergerak selepas 6 petang, ke Johor (6 pagi hingga 3 petang) dan ke Negeri Sembilan dan Melaka selepas 3 petang.

Sementara itu pengguna jalan raya dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Perak (Tengah), Perak (Selatan), Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka yang menghala ke Lembah Klang dicadang memasuki lebuh raya sebelum 11 pagi atau selepas 5 petang.

Jadual tersebut juga merangkumi perjalanan orang ramai yang ingin bercuti atau kembali semula ke Lembah Klang sempena sambutan cuti perayaan tersebut bermula 23 Disember 2016 sehingga 3 Januari 2017.

Dalam pada itu, PLUS juga menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan mereka serta mendapatkan maklumat trafik terkini dengan menghubungi talian bebas tol PLUSLine 1800 88 0000, mengikuti laman Twitter PLUSTrafik atau memuat turun aplikasi ‘PLUS Mobile’ menerusi telefon pintar atau tablet masing-masing.