Terowong SMART disenaraikan sebagai salah satu daripada 10 terowong terbaik di dunia oleh CNN

Terowong SMART disenaraikan sebagai salah satu daripada 10 terowong terbaik di dunia oleh CNN

CNN dilaporkan telah menyenaraikan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (Stormwater Management and Road Tunnel – SMART) di Malaysia sebagai salah satu daripada 10 terowong terbaik di dunia.

Laporan tersebut turut menyebut Terowong SMART mampu mengelakkan kerugian berbilion dolar sekiranya berlaku banjir besar di Kuala Lumpur, malah turut membantu mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di pusat bandar. Panjang terowong tersebut adalah 9.7 kilometer tetapi laluan untuk kenderaan hanyalah 3.3 kilometer. Ia merupakan terowong lencongan air yang terpanjang di Asia Tenggara dan kedua terpanjang di Asia.

Dibina pada tahun 2007, ia direkabentuk bagi kegunaan kenderaan ringan dengan ketinggian maksimum 2 meter serta had laju yang ditetapkan adalah 60 km/j. Motosikal serta kenderaan berat seperti lori dan bas tidak dibenarkan melalui terowong tersebut.

Objektif utama terowong ini adalah untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di Kuala Lumpur dan juga untuk mengurangkan kesesakan trafik di sepanjang Jalan Sungai Besi dan jejambat Loke Yew di Pudu semasa waktu sesak. Secara asasnya, terowong ini mempunyai dua dek laluan sehala bagi kenderaan manakala ruang paling bawah adalah untuk laluan air.

Terowong SMART disenaraikan sebagai salah satu daripada 10 terowong terbaik di dunia oleh CNN

Terowong ini bermula di tasik Kampung Berembang berdekatan dengan Sungai Klang di Ampang dan berakhir di tasik Taman Desa berdekatan Sungai Kerayong di Salak Selatan. Projek ini diketuai oleh kerajaan, termasuklah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan juga satu syarikat pakatan kerjasama di antara Gamuda Berhad dan Malaysian Mining Corporation Berhad (MMC).

Artikel tersebut turut menerangkan operasi terowong yang boleh dilakukan dengan tiga cara iaitu cara pertama menjadi terowong jalan raya sekiranya tidak berlaku banjir. Kedua, jika berlaku banjir pada tahap sederhana, aliran air akan dialihkan dari saluran yang lebih rendah dalam terowong manakala tingkat atas terowong tetap terbuka kepada pemandu.

Ketiga, jika berlaku banjir besar, terowong terbabit akan ditutup dari laluan trafik dan digunakan sepenuhnya untuk saliran air. Sejak ia beroperasi, ia dapat mengurangkan risiko banjir di kawasan yang sering dilanda bencana alam tersebut sebelum ini, termasuk Masjid Jamek, Dataran Merdeka, Leboh Ampang dan Jalan Melaka.

Dengan kos pembinaan sebanyak RM1,887 juta, terowong SMART juga kerap kali menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa termasuklah menerima anugerah projek yang paling inovatif di peringkat dunia pada April 2015.

Lain-lain terowong yang turut berada dalam senarai Top 10 oleh CNN ini ialah Gotthard Base Tunnel di Switzerland, Channel Tunnel yang menghubungkan UK dan France, Eisenhower Tunnel di USA, Spiralen Tunnel dan Laerdal Tunnel, kedua-duanya terletak di Norway, Guoliang Tunnel di Wilayah Henan dan Bund Sightseeing Tunnel di Shanghai, China, Seikan Tunnel dan Tokyo Bay Aqua-Line, Jepun.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required