Hari pertama bagi 2017 telah pun bermula, diharap dapat merancakkan lagi industri automotif di Malaysia. Sempena menyambut ulang tahun yang ke-60 bagi Tan Chong Group, Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) dan Inspired Motor Sdn. Bhd. telah mengumumkan waranti baharu selama tujuh-tahun dengan perbatuan tanpa had untuk model-model Nissan dan Infiniti. Ia adalah menggantikan waranti terdahulu iaitu tiga-tahun dan perbatuan sehingga 100,000 km.

Tawaran ini menjadikan ia sebagai dua jenama kenderaan yang menawarkan waranti terpanjang di negara ini. Di mana Nissan telah mengatasi Toyota dan Honda yang kedua-duanya menawarkan waranti selama lima-tahun dan perbatuan tanpa had. Manakala Infiniti pula mendahului jenama premium yang menawarkan waranti terpanjang, sekaligus mengatasi Lexus dan BMW (waranti lima-tahun, perbatuan tanpa had).

Pengarah Pemasaran dan Jualan ETCM, Christopher Tan berkata, “Tahun ini, kami meraikan ulang tahun Tan Chong Group yang ke-60. Dengan rasa gembira dan bersyukur, kami berbangga untuk mengumumkan tempoh waranti kenderaan yang terbaik di Malaysia. Kualiti Global Nissan memberi keyakinan kepada Tan Chong Group untuk menawarkan kepada pelanggan kami ketenangan minda, kos penyelenggaran yang rendah dan nilai jualan semula yang lebih baik.”

Waranti ini adalah berbeza jika dibandingkan dengan apa yang ditawarkan oleh Hyundai iaitu waranti lapan-tahun bagi penjana kuasa (enjin dan kotak gear) bagi Sonata, kerana ia hanya dibuka untuk pemilik pertama kenderaan terbabit sahaja.

Bagi waranti yang ditawarkan oleh Nissan dan Infiniti ini, lima tahun pertama adalah waranti standard daripada pengeluar, manakala untuk waranti bagi tahun ke-enam dan ke-tujuh adalah untuk enjin, transmisi dan bahagian alat ganti terpilih sahaja. Secara asasnya, ia lebih kepada pakej 5+2, dengan perlindungan bahagian mekanikal utama melebihi dua tahun.

Tawaran ini melibatkan semua model Nissan kecuali pikap Navara yang dihadkan kepada lima-tahun atau perbatuan sejauh 150,000km, manakala bagi kenderaan kegunaan komersial, waranti adalah sama seperti sebelumnya iaitu selama tiga-tahun atau perbatuan sejauh 100,000km. Waranti tujuh-tahun dikendalikan sepenuhnya oleh Tan Chong Group. Ia boleh dipindahkan kepada pemilik seterusnya dalam tempoh jaminan itu.