Honda Malaysia mencatatkan sejarahnya tersendiri apabila berjaya menduduki tangga kedua tertinggi dalam perkongsian pasaran di antara operasi Honda global, menurut Noriaki Abe, Ketua Pegawai Operasi bagi Operasi Serantau (Asia & Oceania) Honda Motor Co Ltd yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Asian Honda Motor Co Ltd.

Dalam ucapannya ketika pelancaran BR-V, Abe mendedahkan Malaysia berada di tempat kedua selepas Indonesia, dan mendahului beberapa negara termasuk Thailand, Amerika Syarikat, Jepun, Kanada dan Taiwan. “Ini antara alasan mengapa Honda mengiktiraf Malaysia sebagai salah satu pasaran yang paling penting untuk operasi dan kami memang memberikan perhatian yang cukup besar buat prestasi perniagaan Honda Malaysia,” ujarnya.

Abe turut berkata Honda telah merekodkan jualan yang cukup besar di rantau ASEAN sejak lima tahun kebelakangan ini, dari 240,000 meningkat melebihi 400,000, iaitu peningkatan sebanyak 70%.

Katsuto Hayashi, pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia pula menambah, Honda Malaysia berjaya menjual sebanyak 91,830 unit kenderaan atau menguasai 15.8% perkongsian pasaran sehingga 2016 berakhir. Sekaligus mengatasi sasaran awal iaitu 90,000 unit sebelum itu. Namun begitu, jumlah ini dilihat menyusut berbanding yang dicatatkan pada tahun 2015 iaitu sebanyak 94,902 unit.

Walau bagaimana pun, prestasi ini tekah membantu Honda untuk mengekalkan kedudukannya sebagai pengeluar kenderaan nombor satu dalam segmen-bukan nasional, malah berjaya mengatasi Toyota, serta Proton selama dua tahun berturut-turut. “Saya mengambil peluang ini untuk berterima kasih kepada anda semua atas sokongan yang diberikan pada 2016. Kami akan terus komited dalam menyediakan barisan model yang lengkap, harga berpatutan dan mempunyai nilai pada wang,” kata Hayashi.