Pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) yang sedang dibina secara berperingkat kini memberikan keutamaan bagi pakej ketiga dan kelima projek terbabit. Menurut Kementerian Kerja Raya, ia adalah bagi menangani kesesakan lalu lintas yang membabitkan pengguna yang berulang alik dari Lembah Klang ke Kelantan.

Menurut menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof, pelaksanaan projek CSR Pintasan Bentong diberi keutamaan kerana laluan sedia ada iaitu Jalan Persekutuan dari Bentong ke Kota Bharu, Kelantan mempunyai kepadatan trafik tinggi di bandar Raub dan Bentong, laporan Berita Harian.

Pakej ketiga projek itu membabitkan laluan sepanjang 61.15 kilometer (km) dari Mentara ke Kampung Seberang Jelai, di daerah Lipis dibina atas faktor keselamatan, dengan sebahagian laluan itu sepanjang 41.35 km dari Kampung Kubang Rusa ke Kampung Seberang Jelai sudah siap. Manakala pakej kelima pula yang membabitkan laluan sepanjang 28.5 km dari Kampung Asap ke Kampung Sertik serta Pintasan Bentong bagi menangani kesesakan lalu lintas pada musim perayaan.

Tambah Fadillah lagi, berdasarkan keadaan trafik semasa kerajaan meluluskan RM578.25 juta pada Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) bagi pelaksanaan projek itu yang membabitkan pembinaan jalan baharu empat lorong dua hala dengan reka bentuk piawaian JKR R5 sepanjang 28.5 km.

“Pelaksanaan projek CSR Pintasan Bentong dibahagikan kepada tiga seksyen pembinaan iaitu Seksyen 5C1, 5C2 dan 5D yang sudah dimulakan secara berperingkat mulai November 2015 dan dijangka siap sepenuhnya dua tahun lagi,” katanya kepada pihak media selepas majlis pelancaran projek CSR Pintasan Bentong.

Projek CSR dari Bentong, Pahang ke Gua Musang Kelantan yang membabitkan jarak keseluruhan 350 km dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020 dan setakat ini 40% daripadanya sudah disiapkan.