Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dipetik sebagai berkata bahawa tujuh lagi kamera Automated Enforcement System (AES) akan dipasang di kawasan yang kerap kemalangan, termasuk Pagoh, Johor di mana kemalangan maut melibatkan bas ekspres yang mengorbankan 13 nyawa baru-baru ini – serta di Kampar, Perak.

Seperti dilaporkan oleh The Sun, beliau memaklumkan, sekiranya ada keperluan dan permintaan, kamera AES di kawasan baharu akan dipasang. Menurut beliau, permintaan itu dilakukan oleh badan-badan bukan kerajaan, pengendali lebuhraya serta kerajaan tempatan untuk dipasang dalam kawasan seliaan mereka.

Sesetengah pihak berkuasa tempatan meminta untuk dipasangkan kamera berkenaan di persimpangan jalan yang kerap berlaku kemalangan, termasuk di persimpangan lampu isyarat. Menurut Liow lagi, setakat ini 14 kamera AES sedia ada tidak pernah dibatalkan dan kekal beroperasi. Bagaimana pun, beliau menolak dakwaan yang beredar di dalam media sosial bahawa terdapat 200 lagi kamera AES akan dipasang di seluruh negara.

Menurut Liow, setakat ini kementeriannya hanya menerima permintaan terhadap tujuh pihak sahaja, dan telah mengeluarkan arahan kepada jabatan-jabatan yang berkaitan untuk tindakan lanjut, termasuk Jabatan Kerja Raya, PDRM dan SPAD.

Beliau juga menambah, kamera AES telah disepadukan ke dalam Automated Awareness Safety System (Awas), yang turut merangkumi sistem mata demerit.