Kementerian Kerja Raya telah mengumumkan jalan keluar-masuk Persimpangan Bertingkat Kuang Sistem di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) akan dibuka untuk kegunaan orang ramai mulai 5 petang hari ini.

Menurut menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof, jalan itu menyediakan laluan lebih mudah dan cepat dari Kuala Lumpur (KL) ke Kundang serta kawasan sekitarnya di utara Selangor, laporan Bernama.

“Melalui laluan dari Plaza Tol Rawang Selatan di PLUS, jarak dan masa perjalanan dari ibu negara akan dikurangkan kira-kira 10km atau 15 minit,” katanya sewaktu merasmikan pembukaan jalan tersebut.

Jalan sepanjang 3.1km itu mula dibina pada tahun 2012 dan siap pada 5 Januari lalu dengan kos pembinaan kira-kira RM30 juta.

“Jalan yang terletak di persimpangan Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan PLUS itu juga akan mendorong lagi pembangunan pesat di kawasan sekitar Kundang dan meningkatkan tahap sosioekonomi penduduk,” katanya.