Honda City dalam penawaran facelift terbarunya dilancarkan untuk pasaran Thailand hari ini. Apa yang berubah? Ia kini diberi kemaskini rekaan yang lebih sporty dan sentuhan yang lebih mewah.

Paling ketara ialah rupa dari bahagian depannya. Antara yang cepat menarik perhatian ialah rekaan gril yang kini tampil dengan kemasan krom yang lebih menonjol, dan selari dengan wajah hadapan model-model semasa Honda yang berada dalam pasaran kini. Turut diberi pembaharuan ialah bahagian bampar depan dan belakang, dan disertakan dengan lampu nyalaan siang LED buat pertama kali di sana.

Bahagian dalaman juga menerima beberapa perubahan. Kemasan atau trim gun-metallic pada konsol serta rekaan upholstery kulit baharu diterapkan pada kerusi di bahagian depan. Antara peningkatan ciri lain adalah tersedianya teknologi capaian bagi kedua-dua telefon dengan sistem Android dan iOS.

Tidak ketinggalan ialah LED Interior Map Lights serta lampu LED dalaman. Honda City 2017 facelift ini juga dilengkapi dengan ciri sistem kawalan canggih; skrin sentuh dan paparan sistem audio dengan sambungan tanpa wayar kepada telefon pintar melalui Bluetooth, Paddle Shift bagi tujuh-kelajuan serta suis kawalan audio yang membolehkan pemandu/penumpang menjawab panggilan telefon melalui sistem audionya.

Selain itu, ciri Eco Coaching turut tersedia, begitu juga dengan One-Push Ignition System dan Honda Smart Key System. Rim aloinya juga menerima sentuhan baru yang lebih sporty, sesuai dengan setiap penambah baikan yang dilakukan secara keseluruhannya terhadap penampilan model berkenaan.

Bagaimanapun, tidak banyak perubahan dari segi spesifikasi teknikal atau output enjinnya. Dilengkapi dengan enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC dengan janaan kuasa 117 hp pada 6,000 rpm dan 146 Nm tork pada 4,700 rpm. Kekal menggunakan transmisi CVT (Earth Dreams Technology), ia menawarkan penggunaan petrol sekitar 17.9 km/l, dan 18.2 km/l bagi versi manual.

Dari segi ciri keselamatan, ia dilengkapi dengan enam beg udara, Vehicle Stability Assist (VSA); Hill Start Assist (HSA); Emergency Stop Signal (ESS); dan Multi-angle Rearview Camera.

Ia ditawarkan dalam enam varian seperti berikut; SV+ CVT (751,000 Baht – RM94,700), SV CVT (736,000 Baht – 92,800), V+ CVT (689,000 Baht – RM86,900), V CVT (649,000 Baht – RM81,800), S CVT (589,000 Baht – RM74,200) dan S MT (550,000 Baht – RM69,300).

Enam pilihan warna ditawarkan – Modern Steel Metallic, Crystal Black Pearl, Lunar Silver Metallic, Taffeta White, White Orchid Pearl, dan warna baru Cosmic Blue Metallic dengan kabin hitam sepenuhnya.