Buat pertama kalinya Perodua telah mendedahkan sedikit butiran mengenai Axia 2017 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Sebelum ini, Perodua hanya berdiam diri tanpa mengesahkan ketibaan Axia 2017, namun kini mereka nampaknya telah bersedia untuk mendedahkannya.
Menerusi laman sosial media Facebook rasmi, MYPerodua, tiga elemen baharu telah didedahkan. Paling utama dan menariknya, Axia 2017 ini turut diberikan enjin baharu iaitu 1.0 liter VVT-i, unit penjana kuasa yang sama dengan Bezza. Ia adalah bagi menggantikan enjin yang dipadankan pada Axia terdahulu yang dilancarkan pada September 2014, iaitu 1.0 liter 12-injap DOHC.
Selain itu, bagi varian SE dan Advance, dua elemen baharu yang ditambah ialah butang push start/stop dan sistem Kemasukan Pintar dengan kunci pintar.
Telah pun mula dibuka tempahannya, Axia baharu ini juga telah diberikan sedikit suntikan segar pada bahagian luarannya, termasuk ditampilkan dengan bampar hadapan dan belakang baharu serta unit lampu utama projektor baharu.
Malahan, bagi varian Advance, ia juga bakal dilengkapi dengan sistem multimedia baharu dengan Smart Link untuk telefon pintar Android sahaja.
Axia 2017 masih mengekalkan warna sedia ada termasuk Lava Red, Midnight Blue, Ebony Black dan Glittering Silver (semuanya metalik), serta Sunflower Yellow dan Ivory White (kedua-duanya warna solid). Namun terdapat dua warna untuk varian Standard E dan G yang digugurkan iaitu Cherry Blossom dan Lemongrass Green.
Walau bagaimana pun, kami akan uar-uarkan perkembangan selanjutnya dengan informasi daripada Perodua sendiri. Tunggu!!!
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.