Diperkenalkan di peringkat global pada tahun 2010, Toyota Yaris generasi ketiga (model antarabangsa, bukan ASEAN dan spesifikasi China) telah pun diberi penambahbaikan (facelift) sekali lagi, kali ini ada sedikit perubahan secara visual, mekanikal dan elemen keselamatan.

Untuk bahagian hadapan, ia tampil lebih agresif, dengan gril bawah yang lebih berketerampilan serya lebih lebar. Malah lampu kabusnya juga telah direka semula, sementara lampu utama bi-LED dengan lampu nyalaan siang LED ditawarkan secara pilihan.

Bagi bahagian belakangnya pula, kini Yaris didatangkan dengan dua kepingan lampu baharu (dengan pilihan LED), untuk menyerlahkan lagi gayanya. Malahan bamparnya juga kelihatan lebih sporty, dan rodanya juga telah direka baharu. Toyota turut menawarkan Pakej Sporty baharu dengan menambah kit badan dan rim aloi 16-inci.

Palet warnanya juga telah ditambah menjadi 17 pilihan warna, termasuk warna baharu Clear Blue Crystal Shine, Avant Garde Bronze Metallic, Dark Blue Mica dan Olive Mica Metallic – dengan dua warna terakhir tersebut hanya untuk model Jewela, yang menampilkan cermin pintu krom dan pemegang pintu seakan Peugeot 208.

Untuk bahagian dalamnya pula, kekemasan perak digantikan dengan hitam berkilat, sementara skim warna baharu iaitu Barrel Brown turut ditawarkan untuk varian tertinggi, U. Sementara warna baharu Burgundy Marsala pula untuk model Jewela. Bagi keselamatan, semua model didatangkan dengan pakej bantuan elak kemalangan Toyota Safety Sense C secara standard bersama bantuan mula mendaki.

Bagi model pasaran Jepun (dengan logo sebagai Vitz), ia dijanakan oleh enjin 1NR-FE 1.0 liter (60 PS/92 Nm) dan 1NR-FKE 1.3 liter Dual VVT-i (99 PS/121 Nm) seperti sebelum ini, serta dipadankan bersama transmisi CVT dan boleh didapati sama ada pacuan roda-hadapan atau empat-roda.

Baharu di Jepun ialah model Hybrid yang pernah dijual di Eropah suatu ketika dahulu, menggunakan enjin Prius c iaitu 1NZ-FXE 1.5 liter VVT-i dengan kuasa 74 PS dan tork 111 Nm, serta digabungkan bersama motor elektrik (61 PS/169 Nm) yang mampu menghasilkan jumlah keseluruhan kuasa sehingga 100 PS dan penggunaan bahan api dianggarkan sekitar 34.4 km per liter mengikut kitaran JC08 di Jepun.

Kerangkanya juga telah diberikan binaan yang lebih tegar, panel instrumen yang lebih tebal dan peredam dengan struktur baharu. Malah Toyota mendakwa, ia memberikan prestasi pemanduan yang dipertingkatkan, kestabilan yang ditambah dan keselesaan pengendalian yang lebih jitu.