Dengan rangkaian LRT dan MRT yang selepas ini semakin meluas, ini mungkin sebuah penyelesaian pengangkutan yang akan memberikan manfaat kepada ramai orang, terutama bagi jarak terakhir antara stesen-stesen tren terbabit dengan tempat kerja atau kediaman anda.

Sebelum ini, basikal lipat menjadi perantara pengangkutan yang memang asalnya direka untuk tujuan ini. Namun, skuter elektrik Stigo memberi satu lagi pilihan yang lebih mudah; meluncur dengan senyap dengan gabungan rekaan boleh lipat serta sistem janaan elektrik untuk menggerakkannya.

Stigo mempertemukan idea reka bentuk yang sinonim dengan basikal lipat, tetapi pada habnya dilengkapi sebuah motor 250 watt. Ia kini sudah memasuki pasaran Malaysia, dan diedarkan oleh Stigo Global sebagai pengedar rasmi.

Skuter elektrik ini juga sah untuk digunakan untuk jalan raya; ia menerima kelulusan sebagai skuter elektrik kelas “L1e” dan ditawarkan dalam dua varian – Stigo dan Stigo+. Ia dilengkapi dengan pek bateri lithium-ion 5.8 Ah 36 volt yang membekalkan sebanyak 209 watt per jam, sementara Stigo+ dilengkapi dengan pek dan jumlah yang dua kali ganda daripada ini.

Dengan pek bateri ini, masing-masing Stigo dan Stigo+ mampu bergerak dalam jarak 15 km dan 30 km jika baterinya penuh, dengan kelajuan sekitar 25 km/j. Tempoh mengecasnya ialah tiga jam, menggunakan soket biasa yang ada dirumah atau pejabat.

Bagi berat pula, Stigo hadir dengan 13.9 kg manakala Stigo+ seberat 15.2 kg. Disebabkan ia boleh dilipat, ini akan memudahkan pengguna untuk membawanya sekali sekiranya di antara jarak perjalanan berkenaan tetap memerlukan pengguna untuk menaiki kereta.

Untuk melipat Stigo, hanya memerlukan dua langkah mudah. Dalam keadaan sedia untuk bergerak, saiznya bukaan keseluruhannya skuter ini ialah kira-kira 48 cm x 40 cm. Untuk menghidupkannya, cuma perlu tekan butang pada kunci yang disediakan – lampu LED depan dan lampu brek di belakang turut akan menyala.

Untuk menggerakkannya, sama seperti skuter; pulaskan pendikit pada palang pemegang. Membrek pula adalah melalui tuil di sebelah kiri dan kanan pemegang – V-Brake di bahagian depan, dan brek cakera kendalian kabel untuk bahagian belakang. Tiada sistem suspensi pada kenderaan ini.

Skuter elektrik Stigo dijual pada harga permulaan RM5,990 bagi varian asas, manakala RM6,990 bagi Stigo+, selagi stok masih ada. Dibuat di Estonia menggunakan bahan aluminium, dengan pek bateri terletak di dalam kerangka utamanya, ia mudah dilipat untuk menjimatkan ruang storan di rumah atau pejabat.