Berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, bahawa satu kaedah larangan terhadap motosikal berkapasiti kecil untuk masuk ke pusat bandar sedang dilihat, seorang lagi menteri memberi kenyataan balas kepada The Star.
Kali ini adalah Menteri Sumber Asli dan Tenaga, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Bertentangan dengan kenyataan Adnan, Junaidi memberitahu bahawa motosikal bukanlah penyebab utama kepada pencemaran udara dan langkah halangan ini memerlukan kajian saintifik sebelum dilakukan.
“Motosikal kecil tidak mengeluarkan banyak karbon. Yang besar ya. Kenapa kita nak menghalang yang kecil (motosikal) pula? Kita sepatutnya menghalang yang besar,” kata Junaidi.
Walaupun bersetuju secara prinsipnya, untuk mengurangkan perlepasan karbon, operasi kenderaan persendirian juga perlu dikurangkan, Junaidi menyatakan satu kajian rapi perlu dilakukan untuk menentukan jika ia benar-benar dapat membantu menghasilkan keadaan yang lebih baik.
“Kita perlu tahu, siapa atau kenderaan jenis apa yang paling banyak mencemarkan alam. Adakah lori, bas, kereta atau motosikal? Untuk motosikal saya tidak tahu, tetapi pada pandangan saya, lori besar yang sepatutnya dihalang,” tambah Junaidi.
Beliau turut menyatakan bahawa satu perbincangan lanjut akan diadakan di antara kementerian beliau dan kementerian Wilayah Persekutuan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.