Di sini kami ada perincian serta gambar penuh Perodua Axia facelift 2017, lebih awal daripada pelancaran rasminya, memandangkan ia sudah berada di beberapa pusat pameran. Pertama kali muncul pada tahun 2014, kini Axia diberikan pembaharuan supaya lebih segar dalam pasaran.

Walaupun ini adalah facelift pertengahan kitaran hayatnya, pembaharuan yang diberikan masih lagi minimal, tetapi tidak sekadar di luar sahaja. Enjin 1KR-VE tiga silinder 1.0 liter yang digunakan kini mempunyai teknologi pemasaan injap boleh ubah VVT-i, seperti yang diperkenalkan pada Bezza. Ini seterusnya menjawab keluhan pengguna awal Axia, memandangkan Viva juga sudah mempunyai teknologi itu (diletakkan sebagai DVVT).

Kuasa maksimum enjin ini meningkat 1 hp dan 1 Nm, menjadikan keseluruhannya 67 hp pada 6,000 rpm dan 91 Nm tork pada 4,400 rpm, dihantar kepada tayar depan melalui pilihan kotak gear manual lima kelajuan dan automatik empat kelajuan, sama seperti sebelum ini. Perodua mendakwa versi manual boleh mencatat penggunaan bahan api lebih baik, sehingga 22.5 km/l berbanding sebelum ini 21.6 km/l.

Bagi penampilannya, Perodua sekali lagi menggunakan lampu dan gril bertingkat, dengan varian Standard dan SE/Advance mendapat rupa yang unik. Kini, varian Standard E dan G mendapat lampu projector daripada model SE/Advance sebelum ini, dipadankan dengan bampar dan gril baharu.

Lampu penunjuk arah pada fender hadapan dan rim 14 inci lapan cabang masih dikekalkan, tetapi bersama rekaan bampar dan lampu varian Standard. Satu penambahan baharu adalah pemegang pintu but, diletakkan di tempat lubang kunci pada model sebelum ini.

Pilihan kit badan GearUp juga ditawarkan, dengan untuk bahagian luar, terdapat kemasan bampar hadapan, belakang dan side skirt, spoiler belakang, visor di cermin pintu dan pelekat hitam di tiang tengah kenderaan, manakala yang lain terdiri daripada karpet khas, alas untuk ruang simpanan barang, lapisan kalis bunyi di pintu dan hud, serta balutan khas untuk tempat duduk.

Varian Axia yang lebih mahal dan sporty iaitu SE dan Advance menerima perubahan yang lebih ketara, dengan kini dilengkapi lampu projector bentuk baharu, gril baharu dan bampar seperti Honda Jazz. Perumah lampu kabus juga kini mempunyai kemasan krom dan gentian karbon hiasan.

Pergi ke bahagian sisi, varian SE/Advance mendapat lampu penunjuk arah LED pada cermin sisi (sama seperti sebelum ini), rim 14 inci baharu daripada Bezza Advance dan butang kemasukan tanpa kunci pada pemegang pintu bahagian pemandu. Bampar belakang yang lebih tajam dan lampu belakang berwarna jernih tidak ditukar, tetapi pintu but belakang juga mendapat butang kemasukan tanpa kunci.

Perubahan di bahagian dalam tidak begitu ketara. Semua model kini mendapat rekaan panel meter baharu, dengan pencahayaan lampu putih pada varian SE dan Advance; model yang lebih sporty ini juga menerima butang pemula enjin (terletak di sebelah butang untuk menutup pengesan jarak hadapan).

Sementara itu, varian Advance mendapat skrin sesentuh sistem hiburan dan informasi baharu, dengan fungsi cerminan telefon Android ‘Smart Link’ (varian SE kekal dengan unit radio/CD/Bluetooth yang ringkas). Perubahan lain termasuk rekaan tempat duduk fabrik baharu pada varian Standard dan SE.

Tiada perubahan pada bahagian keselamatan: masih tiada pengawal stabiliti elektronik (ESC), tetapi brek ABS diberikan terus kepada varian Standard G ke atas dan terdapat beg udara berkembar di hadapan, menjadikan kenderaan ini diiktiraf empat bintang dalam ASEAN NCAP. Harga juga telah dirombak semula, dengan kini dijual pada antara RM24,900 hingga RM42,900, dengan peningkatan sehingga RM2,773 (jika dibandingkan dengan spesifikasi yang sama). Rujuk grafik berikut untuk perincian penuh, bersama aksesori pilihan GearUp.

Untuk maklumat lanjut atau sekiranya anda ingin membandingkan Perodua Axia dengan kenderaan-kenderaan lain, layari www.carbase.my.

GALERI: Perodua Axia Advance 1.0 facelift

GALERI: Perodua Axia Standard G 1.0 facelift dengan kit badan GearUp