Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengumumkan program Hari Tanpa Kenderaan di Shah Alam akan dilaksanakan pada Ahad minggu kedua pada setiap bulan. Ia merupakan sebahagian usaha menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya rendah karbon menjelang tahun 2030.

Menurut Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, ia adalah bagi memastikan program yang mendapat sokongan penuh Kerajaan Negeri dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Katanya, usaha ini juga adalah dengan objektif menggalakkan warga Shah Alam mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian yang melepaskan gas karbon monoksida.

Pelancaran bagi program ini akan berlangsung pada 22 Januari ini di Dataran Kemerdekaan dan melibatkan penutupan beberapa jalan utama di sekitar bandaraya Shah Alam, dari jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi. Jalan yang terlibat ialah Persiaran Bandaraya, Persiaran Perbandaran, Persiaran Tasik, Persiaran Masjid, Persiaran Damai dan Persiaran Dato’ Menteri.

Sepanjang program ini berlangsung, orang ramai hanya dibenar menggunakan basikal, papan luncur, hover board, berjalan kaki dan skuter blade di sekitar pusat bandar raya. Malahan MBSA turut menyediakan perkhidmatan sewaan peralatan basikal dan ‘roller blade’ bagi menarik penyertaan awam.