Mulai hari ini sehingga 22 Januari 2017, Perodua sedang menganjurkan karnival MYPerodua Nation bertempat di Aeon Mall Shah Alam (tempat parkir terbuka).

Pelbagai aktiviti menarik menanti para pengunjung, antaranya persembahan artis popular oleh Faizal Tahir, Tomok, Bunkface, De Fam dan Ezad Lazim. Selain itu, tayangan filem “BoboiBoy The Movie” dan “Ice Aged” secara terbuka juga akan diadakan.

“MYPerodua Nation terbuka untuk semua orang. Nikmati pengalaman penuh bermakna bersama kami dengan pelbagai tawaran menarik serta pelbagai lagi kejutan yang bakal menanti kunjungan anda semua,” ujar pengarah urusan bahagian jualan Perodua, Datuk Dr.Zahari Husin.

Bagi ahli Perodua UFirst juga berpeluang menyertai “UFirst Warrior Challenge” dengan tawaran wang tunai sebagai hadiah.

“Malah kami turut menyediakan aktiviti dan promosi istimewa buat penuntut universiti dan kolej yang ingin membeli kereta Perodua pertama mereka atau boleh menyertai Uni-Quest Challenge sebagai sebahagian daripada aktiviti promosi tahunan,” tambah Zahari lagi.

Para pengunjung juga berpeluang menempah mana-mana model Perodua di karnival ini, malah turut terbuka untuk menyertai kuiz dengan menjawab soalan ringkas menerusi SMS. Hadiah utama yang menanti pemenang bertuah merupakan Perodua Bezza 1.3L Advance (lengkap dengan aksesori GearUp). Sementara itu, pakej melancong ke Shanghai, China, selama 5 hari 5 malam turut menanti 30 pemenang cabutan bertuah.

Bukan itu sahaja, acara cabutan bertuah umum juga turut diadakan dan semua pengunjung berpeluang menyertainya. Di mana ia menawarkan Perodua Axia facelift 2017 sebagai hadiah utama untuk dimenangi, di samping hadiah-hadiah lain yang tidak kurang menariknya termasuk Samsung S7 Edge, iPhone 7 dan kamera GoPro .

Bagi yang berminat untuk memilik kenderaan Perodua baharu, Golden Prosperity Deals turut memberikan tawaran menarik sempena dengan promosi Tahun Baru Cina. Malah pelanggan boleh menerima rebat tunai sehingga RM3,888 bagi model Perodua terpilih. Bagi pelanggan sedia ada, turut berpeluang menerima baucer servis percuma, berserta diskaun istimewa sehingga 50% bagi alat ganti dan aksesori.

“Semua orang dijemput untuk bersama-sama Perodua bagi memeriahkan lagi acara ini sebagai cara kita menyambut kedatangan 2017 dengan penuh keceriaan. Kami turut menyediakan perkhidmatan bas secara percuma dari sekitar Seksyen 13, Shah Alam, untuk pengunjung datang ke karnival ini,” ujar Zahari lagi.