Disebabkan hujan lebat yang berterusan sejak Sabtu lepas, struktur landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di laluan Km 392.5 antara Bukit Abu-Dabong, Kuala Krai telah terjejas dan tidak dapat dilalui sejak semalam. Walau bagaimanapun, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KTMB hari ini mengatakan gangguan perkhidmatan tren Antarabandar di laluan tersebut akan kembali pulih Jumaat ini.

“Oleh itu semua perkhidmatan tren antara laluan Dabong-Kuala Krai-Dabong digantung sementara bermula semalam. Semua perkhidmatan tren shuttle hanya akan beroperasi antara Kuala Lipis-Dabong dan Kuala Krai-Tumpat. Kerja-kerja membaik pulih landasan sedang giat dijalankan,” ujar KTMB menerusi Unit Komunikasi Korporatnya dalam kenyataan tersebut.

Dalam perkembangan yang sama, perkhidmatan Ekspres Timuran no.26 (JB Sentral-Tumpat) hanya disediakan dari Stesen JB Sentral hingga Stesen Gua Musang dan penumpang akan meneruskan perjalanan dari Stesen Gua Musang ke Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat menggunakan bas yang disediakan oleh KTMB, manakala bagi penumpang ke Stesen Dabong akan menggunakan tren tempatan.

KTMB turut memohon maaf atas kesulitan ini serta menyatakan kelewatan tren dijangka melebihi dua jam, dan penumpang boleh membuat pemulangan tambang atau menukar tarikh perjalanan mereka.