Akibat hujan berterusan dan kini telah mengakibatkan banjir di beberapa daerah di Johor, Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri berkenaan telah mengumumkan beberapa batang jalan di daerah-daerah tertentu kini mula ditutup kepada kenderaan ringan, menurut laporan Bernama.

JKR menyatakan, sehingga 11.30 pagi ini, Jalan Tungku 3; Jalan Jabi ke Bukit Tempurung dan Jalan Felda Kemelah di daerah Segamat mula ditutup kepada kenderaan ringan. Manakala pada daerah Kota Tinggi, Jalan Seksyen 53 dan Jalan Kota Tinggi-Mersing juga hanya boleh dilalui kenderaan berat.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkata aras air di kawasan Sungai Bekok di Yong Peng, Batu Pahat telah melebihi tahap bahaya iaitu 2.97 meter pada 12 tengah hari. Dua sungai di Segamat pula berada pada aras amaran dan berjaga-jaga iaitu Sungai Lenik di Ladang Chaah dengan bacaan 5.78 meter dan Sungai Muar di Kampung Awat dengan 19.45 meter. Kolam Air di Empangan Machap, Kluang juga berada pada aras amaran dengan paras 17.17 meter.