Nampaknya Honda Malaysia memulakan langkah yang bergaya untuk permulaan tahun 2017 ini, apabila SUV tujuh-tempat duduk Honda BR-V yang baharu sahaja dilancarkan hampir tiga minggu lalu kini telah pun menerima tempahan lebih dari 4,000 unit.

Tempahan berkenaan telah melangkaui sasaran asal Honda Malaysia yang mahu menjual hanya 800 unit SUV tersebut pada setiap bulan, di mana jumlah tempahan sedia ada telah pun memenuhi kuota yang ditetapkan selama lima bulan kehadapan. Oleh itu, bagi mereka yang sudah pun menempah BR-V, mereka mungkin terpaksa menunggu sehingga 1-2 bulan sebelum menerima kereta baharu mereka.

Honda Malaysia turut menyatakan, walaupun angka tempahan berkenaan sepatutnya dihasilkan dalam masa lima bulan, pihak mereka mampu untuk mengekalkan tempoh menunggu lebih pendek kerana keupayaan kilang mereka yang boleh melaras jadual produksi berdasarkan permintaan serta ia kini beroperasi dengan dua barisan produksi.

Berdasarkan statistik, dari keseluruhan tempahan tersebut, varian tertinggi V menerima permintaan sebanyak 83% manakala 17% selebihnya menempah BR-V dari varian asas E. Honda turut menyatakan, atas praktikaliti dan juga harganya yang mampu milik, BR-V ditempah oleh ramai dari kalangan mereka yang belum pernah memiliki jenama berkenaan sebelum ini.

Honda BR-V, atau Bold Run-about Vehicle merupakan sebuah kenderaan crossover tujuh tempat duduk yang direka seperti SUV tetapi dengan keluasan serta praktikaliti sebuah MPV. Dipasang di Pegoh, Melaka, Honda Malaysia menyatakan 70-80% komponen yang digunakan merupakan keluaran tempatan.

Dibangunkan khusus untuk pasaran ASEAN, BR-V dibina dari platform Honda Brio/Mobilio dan dilengkapi enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC, berkuasa 120 PS dan 145 Nm. Enjin berkenaan dipadankan dengan sistem transmisi CVT Earth Dreams, memacu roda hadapan.

Pada bahagian sistem suspensi, BR-V diberikan Topang MacPherson untuk bahagian hadapan dan torsion beam pada bahagian belakang. Menurut Honda Malaysia, suspensi untuk BR-V di semua negara adalah sama, namun penyerap hentak bagi pasaran Malaysia telah diberi talaan yang sedikit berbeza untuk kesesuaian kegunaan di jalan raya di sini.

Untuk dimensi pula, BR-V diukur dengan 4,453 mm panjang (4,456 mm untuk varian V), 1,735 mm lebar dan 1,650 mm tinggi, manakala jarak rodanya pula ialah 2,660 mm. Ia turut memberikan jarak kelegaan tanah sehingga 201 mm. Sebagai perbandingan, BR-V ini 161 mm lebih panjang, 35 mm kurang lebar dan 45 mm lebih tinggi serta jarak rodanya 50 mm lebih panjang berbanding HR-V.

Kami belum lagi menguji SUV ini di Malaysia, namun gambaran awal boleh dibuat dengan membaca ulasan pandu uji kami terhadap BR-V pasaran Thailand yang kami sertai sebelum ianya dilancarkan pada pasaran tempatan.

GALERI: Honda BR-V 1.5L V