Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan kenyataan media sebagai respons kepada Kee Thuan Chye, dengan memaklumkan bahawa hanya individu yang meletakkan kenderaan mereka tanpa membuat pembayaran parkir bakal dikenakan tindakan termasuk mengunci tayar kenderaan (clamped) tersebut, biarpun ia diletakkan secara betul.

Menurut pengawa perhubungan media DBKL Hassan Azhari Abu Bakar, ini merupakan sebahagian sistem baharu yang dikuatkuasakan sejak September tahun lalu. Beliau turut menambah sistem baharu ini membolehkan pemilik kenderaan membayar caj parkir menerusi mesin yang disediakan tanpa perlu memaparkan kupon pembayaran pada kenderaan mereka, memandangkan ia telah direkodkan oleh sistem terbabit, laporan The Sun.

“Pegawai penguatkuasa kami juga akan melakukan rondaan dan memeriksa plat pendaftaran kenderaan. Jika pemiliknya sudah membuat bayaran, tanpa meletakkan kupon pada kereta, sistem berkenaan masih dapat mengesahkan pembayaran sudah dilakukan dan kenderaan berkenaan tidak akan dikunci,” ujarnya.

Pada Isnin lalu, Kee telah memuatkan entri menerusi akaun Facebook miliknya dan berkata DBKL akan mengunci kenderaan yang tidak memaparkan kupon pembayaran caj parkir biarpun diparkir secara betul, malah saman juga akan dikeluarkan.

Dalam entrinya tercatat, “pelaksanaan mengunci sepatutnya dilakukan bagi sesiapa yang memarkir secara tidak sah di kawasan yang mempunyai papan amaran berkenaan. Tiada amaran mengunci kenderaan untuk mereka yang tidak membeli/memaparkan tiket parkir.”

Sejak itu, Kee turut menyatakan (pada hari Selasa) bahawa walau pun ia merupakan satu kesalahan apabila pemilik kenderaan tidak membayar caj parkir, namun tidak sepatutnya tayar kenderaan mereka dikunci (walau terdapat sistem baharu tanpa tiket). Katanya lagi, DBKL sepatutnya menyediakan notis amaran lebih awal bahawa pemilik kenderaan yang tidak membayar caj parkir, kenderaan mereka boleh dikunci.

Sebelum ini, bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata, DBKL tiada pilihan untuk mengunci tayar kenderaan yang diparkir secara salah dan menghalang trafik. Katanya lagi, “Ada lebih 120,000 kompaun dikeluarkan setiap bulan tetapi masih ramai yang enggan membayarnya. Kami tidak mempunyai pilihan, melainkan mengambil tindakan yang sewajarnya.”