Hujung minggu lalu, Naza Kia Malaysia Sdn Bhd telah pun melancarkan pusat 3S terkini yang terletak di Jalan Pahang, Kuala Lumpur. Ia merupakan salah satu daripada lima pusat servis yang dilancarkan pada tahun ini dan merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengembangkan rangkaian serta menaiktaraf semua pusat servis sedia ada menjadi pusat 3S.

Dibina dengan kos bernilai RM1.5 juta, pusat 3S ini turut dilengkapi dengan pusat jualan, servis dan alat ganti. Ia mampu mempamerkan empat buah kereta dalam bilik pameran dengan empat petak penyelenggaran yang berkeupayaan menyelenggara sehingga 14 buah kereta sehari. Ia turut dilengkapi dengan kemudahan lounge untuk para pelanggannya dan wifi.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holding, Dato’ Samson Anand George, pembukaan pusat 3S Jalan Pahang ini mensasarkan pelanggan Kia yang tinggal di kawasan berhampiran termasuk dari Jalan Genting Klang, Setapat dan Titiwangsa. “Ia terletak di lokasi yang cukup strategik iaitu di tengah-tengah ibu kota. Memberikan kelebihan untuk para pelanggan sedia ada termasuk pelanggan berpotensi Kia mendapatkan perkhidmatan yang diinginkan,” ujar Samson.

Kini Naza Kia Malaysia telah mempunyai 33 pusat servis di seluruh negara. “Kami mahu memperluaskan lagi rangkaian dengan memperkenalkan lima lagi pusat 3S baharu (termasuk di Jalan Pahang) untuk tahun ini. Malahan kami akan memperkemaskan dan meningkatkan lagi standard bagi semua rangkaian dengan mensasarkan peningkatan kualiti dan memperbaiki keberkesanan. Justeru, pelanggan kami dapat merasai pengalaman yang lebih memuaskan terhadap perkhidmatan selepas jualan ini,” kata Samson lagi.