Berikutan desas-desus bahawa Proton telah memuktamadkan pencarian rakan strategik asingnya pada 15 Februari 2017, pengeluar automotif nasional tersebut telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi menafikan dan mengelakkan orang awam terkeliru dengan laporan-laporan yang tidak tepat mengenai isu ini.

Menurut kenyataan berkenaan, Proton menegaskan seperti yang telah diumumkan terdahulu, DRB-HICOM akan menamatkan pencarian dan mengumumkan hasilnya dalam separuh pertama tahun 2017. Buat masa ini, syarikat berkenaan sedang menumpukan kepada proses kritikal mencari rakan strategik asing yang tepat, dan satu pengumuman akan di buat pada waktu yang tepat kelak. Walau bagaimanapun, proses pencarian ini akan diselesaikan secepat mungkin.

Kenyataan tersebut turut menyebut bahawa proses ini adalah amat kompleks dan akan memakan masa. Setelah menerima bidaan, DRB-HICOM akan memulakan perundingan terperinci dengan pembida-pembida. Ini adalah untuk memastikan semua perkara utama yang akan dipertimbangkan ada di dalam bidaan bakal rakan strategik tersebut. Ini merangkumi keserasian strategik, operasi dan budaya.

DRB-HICOM kemudian akan memulakan proses kelulusan dalaman, termasuk memanggil mesyuarat pemegang saham, selain proses kelulusan daripada pihak berkuasa untuk membolehkan rakan strategik yang dipilih mengambil alih ekuiti di dalam PROTON.