Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh mengambil tindakan terhadap pengguna yang melanggar peraturan jalan raya di kawasan luar bandar, seperti yang telah digazetkan oleh kerajaan, jelas Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, seperti dilaporkan Bernama.

Beliau berkata, tanggapan bahawa JPJ tidak boleh mengambil tindakan terhadap pengguna yang melanggar peraturan lalu lintas di jalan-jalan luar bandar adalah salah. “Sebagai contoh, jika sebuah traktor dipandu di dalam kawasan sawah, ia tidak menjadi kesalahan. Tetapi jika ia berada di atas jalan, pemandu berkenaan perlu memiliki lesen kelas F,” ujarnya.

“Kita tak tahu bila kemalangan akan berlaku, sebab itulah semua pemandu perlu mempunyai lesen sah (bagi kelas-kelas kenderaan sewajarnya),” tambah beliau. Jalan raya yang digazetkan oleh kerajaan adalah merujuk jalan-jalan raya yang diselenggara oleh Jabatan Kerja Raya.