Honda Malaysia kini sedang membina momentum untuk model City facelift, dengan ia dipertontonkan kepada media minggu lalu dan kemudiannya dibawa ke pameran jelajah seluruh negara. Terbaru, syarikat itu menyiarkan pula sebuah video yang menunjukkan perbezaan di antara City facelift ini dengan model yang sedang dipasarkan sekarang. Tempahan untuk City facelift juga sudah dibuka.

Melalui video sebelah-menyebelah ini, lebih mudah untuk orang ramai melihat perbezaan rekaan antara keduanya seperti lampu LED bagi varian V paling tinggi dan bentuknya yang berbeza. Plet krom di hadapan bagi model facelift ini juga lebih panjang dan nipis, sehingga ke lampu hadapan seperti Civic manakala bahagian gril pula mempunyai rekaan honeycomb dan kemasan krom. Bampar juga menerima sedikit perubahan.

Pada bahagian belakang pula, model V mendapat lampu jenis LED seperti yang boleh dilihat pada Grace Hybrid pasaran Jepun, dan juga terdapat bampar baru serta spoiler jenis ducktail yang dilengkapi bersama lampu brek ketiga. Melengkapkan penampilannya adalah rim aloi dua tona baru berukuran 16 inci untuk varian V.

Seperti yang dilakukan pada BR-V sebelum ini, Honda juga tidak menunjukkan bahagian dalam City facelift, namun kita dijangka mendapat kemasan yang lebih gelap, fabrik tempat duduk yang direka semula (dengan jalur tengah seperti Civic) dan lampu dalam seperti model Thailand dan India. Kesemua varian City facelift akan mendapat sistem pemasukan tanpa kunci dan butang pemula enjin, manakala varian V ditambah dengan kamera undur pelbagai sudut dan cermin sisi yang boleh dilipat secara eletronik.

Enjin yang digunakan pada City facelift masih lagi sama, iaitu unit empat silinder 1.5 liter i-VTEC, dipadankan dengan transmisi CVT Earth Dreams. Walaupun jumlah kuasanya tidak disiarkan, ia boleh dijangka menghasilkan jumlah sama iaitu 120 PS dan 145 Nm tork. Untuk aspek keselamatan, semua varian City facelift dilengkapi dengan Vehicle Stability Assist (VSA), dan varian V ditambah dengan enam beg udara. Jumlah varian juga dikurangkan menjadi tiga (S, E dan V), daripada empat sebelum ini.