Honda Cars India telah pun membuka tempahan bagi Honda City 2017, iaitu City facelift yang telah pun dilancarkan di Thailand pada bulan lalu dan kini juga telah dibuka tempahannya di Malaysia. Model sedan yang diberi suntikan lebih segar ini dijangka dilancarkan di India pada 14 Februari ini.

Malahan video yang menayangkan teaser bagi City 2017 ini juga telah disebarkan. City, yang diposisikan sebagai kenderaan premium di India, didatangkan dengan lampu utama dan lampu nyalaan siang LED, aloi potongan-berlian 16-inci, lampu belakang LED, spoiler but dengan brek lampu ketiga LED, enam beg udara, unit utama dengan skrin sesentuh “Digipad” tujuh-inci berserta navigasi (unit yang berlainan dengan City versi Malaysia) dan bumbung matahari elektrik bagi varian tertinggi ZX.

Klik untuk besarkan

Terdapat dua penjana kuasa yang ditawarkan bagi pasaran India. Enjin petrol 1.5 liter i-VTEC dipadankan dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau automatik CVT bersama tujuh nisbah maya dan pedal penukar gear. Selain itu, enjin diesel 1.5 liter i-DTEC turut ditawarkan dengan padanan kotak gear manual enam-kelajuan.

Seperti varian tertinggi City, Grade V, bagi Malaysia, model spesifikasi tertinggi bagi India turut menerima lampu utama dan lampu kabus LED, roda aloi dwi-tona 16-inci, ‘ducktail’ spoiler dengan disambung lampu brek LED dan lampu belakang LED. Dua elemen terakhir itu walau bagaimana pun tidak ditawarkan di Thailand. Semua model turut menerima VSA dan kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, sementara varian V turut menampilkan kamera undur pelbagai-sudut.

GALERI: Honda City facelift spesifikasi Thailand