Contoh bas elektrik

Majlis Perbandaran Taiping (MPT) bakal menjadi pihak berkuasa tempatan pertama di negara ini menggunakan bas elektrik yang dijangka beroperasi mulai Oktober ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid, sebuah bas elektrik yang bernilai RM1.8 juta sumbangan Kerajaan Jepun itu akan beroperasi di sekitar bandar Taiping ke kawasan laluan Jejak Warisan di sini sejauh 11.5 kilometer, laporan Bernama.

Katanya lagi, bas tersebut menggunakan teknologi hijau mesra alam sekitar itu boleh memuatkan 60 orang penumpang.

“Bas berkenaan akan menjadi ikon dalam usaha menarik kemasukan pelancong ke bandar ini. Kadar tambang bas tersebut akan ditentukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Darat Malaysia (SPAD) nanti,” katanya dalam sidang media selepas majlis Penyerahan Perjanjian Persefahaman bas berkenaan antara MPT, Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA), Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan PUES Corporation Japan baru-baru ini.

Tambah Mohamad Zahir, dua buah stesen iaitu di Zoo Taiping & Night Safari dan MPT akan menjadi stesen pengecas elektrik bas berkenaan.