Hampir lima bulan lalu, G30 BMW 5 Series telah pun diperkenalkan di peringkat dunia, namun menerusi foto spyshot yang dirakam oleh Kelvin Low dari laman Facebook F10 Crew Malaysia, model tersebut telah dikesan di atas sebuah trailer, di negara kita. Ternyata ia bakal memasuki bilik pameran tidak lama lagi.

Menerusi foto ini, kelihatan 530i dengan pakej M Sport dan roda aloi M double-spoke 664M 19-inci, memungkinkan ia sebagai model tertinggi, mungkin bakal ditawarkan dalam kuantiti yang terhad. Kelihatan juga lampu utama LED adaptif, yang turut ditawarkan secara standard bagi model semasa F10 5 Series.

Kuasanya didatangkan dari enjin B48 2.0 liter turbo empat-silinder, yang mampu menghasilkan output 252 hp pada 5,200 rpm dan tork 350 Nm dari 1,450 hingga 4,800 rpm. Turut ditawarkan enjin yang sama bagi 520i dengan 180 hp/290 Nm, begitu juga dengan 520d yang masih menggunakan enjin 2.0 liter turbodiesel (190 hp/400 Nm) seperti sebelum ini. Ia dipadankan dengan kotak gear ZF automatik lapan-kelajuan untuk semua model.

Lebih besar dan lebih ringan (dikurangkan sebanyak 100 kg) berbanding model sebelumnya, G30 ini bakal dilengkapi dengan banyak teknologi baharu, termasuklah skrin sesentuh 10.25-inci baharu, kawalan gerakan dan kawalan parkir, serta pemanduan semi-sendiri seperti kawalan kelajuan aktif, bantuan kekal lorong dan penukaran kosong sendiri. Seperti biasa, jangan mengharapkan semua elemen ini ada pada model spesifikasi Malaysia.

Seperti mana pesaingnya, W213 Mercedes-Benz E-Class, G30 BMW 5 Series ini akan sampai dalam versi import-sepenuhnya (CBU) trlebih dahulu sebelum pemasangan-tempatan (CKD) dimulakan kemudian. Dijangkakan harganya di antara pertengahan RM300,000 dan RM400,000, seperti model E-Class.