Syarikat pengeluar motosikal prestasi dari United Kingdom, Hesketh, cukup terkenal di dalam dunia perlumbaan, seawal tahun 70-an. Dulunya, bukan setakat motosikal, syarikat ini juga pernah mempunyai pasukan sendiri dalam perlumbaan F1. Tapi sekarang, Hesketh Motorcycles lebih fokus kepada penghasilan motosikal edisi terhad buatan tangan.

Hasil terbaru syarikat ini yang dibuka untuk jualan adalah Hesketh Valiant SC, yang menggunakan enjin V-Twin ‘X-Wedge’ S&S 2,100 cc, serta padanan sistem pengurusan enjin closed-loop dan supercharger Rotrex. Kuasa maksimum yang mampu dihasilkan oleh motosikal ini adalah 210 hp pada 5,500 rpm dan 295 Nm pada 3,000 rpm.

Enjin ini kemudiannya dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan, klac hidraulik King Kong dan kuasa disampaikan ke tayar belakang melalui rantai. Memandangkan ia adalah sebuah motosikal binaan tangan, banyak bahagiannya dimesinkan khas, termasuk rim three-piece 17 inci gaya Astralite.

Tugas membrek pula dijalankan oleh angkup Pretech – enam piston berkembar di hadapan dan empat piston tunggal di belakang. Suspensi Valiant SC menggunakan barangan daripada Ohlins dan K-Tech di hadapan dan monoshock K-Tech Razor di belakang.

Menurut Hesketh, motosikal ini mempunyai berat siap dengan bendalir 230 kg, dan beberapa bahagian lain turut menggunakan khidmat jenama seperti Rizoma, Magura, Smiths, Domino dan Moto Gadget. Tempahan kini sudah dibuka untuk Valiant SC, pada harga sekitar 50,000 pound sterling (RM272,000) dan pelanggan dijangka boleh menerimanya pada tahun hadapan.