Seramai 129 orang dan 120 buah motosikal diperiksa di dalam Op Samseng Jalanan yang dilakukan oleh PDRM di Lebuhraya KESAS dari 12 tengah malam hingga 7 pagi Ahad. Harian Metro melaporkan, polis membuat kepungan berdekatan susur keluar ke Banting.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Kamaludin Mohamad menjelaskan; “Sebanyak 150 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, nombor plat tidak mengikut spesifikasi dibenarkan dan lain-lain.

Selain itu, polis juga menyita 59 buah motosikal serta membawa balik lapan motosikal yang ditinggalkan di tepi lebuh raya berkenaan selepas penunggangnya melarikan diri. Semua yang ditahan berusia antara 16 hingga 30 tahun dan operasi dijalankan selepas lokasi itu kerap dijadikan perlumbaan haram setiap malam hujung minggu.

Operasi berkenaan melibatkan kekuatan seramai kira-kira 100 anggota dan pegawai polis dengan dibantu penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang dan pihak KESAS.