Bagi perlumbaan Shell Eco-marathon Asia 2017 (SEM) yang akan berlangsung 16 hingga 19 Mac ini, tujuh pasukan dari lima universiti tempatan akan menggalas cabaran diperingkat Asia. Universiti-universiti yang terlibat ialah Universiti Monash, Universiti Multimedia, Universiti Malaysa, Universiti Teknologi MARA dan Universiti Tunku Abdul Rahman.

Saingan kali ini bakal menyaksikan 120 pelajar antaranya dari pasukan-pasukan dari Asia, Timur Tengah dan Australia yang akan berkampung di Singapura bagi acara berkenaan. Daripada tujuh pasukan Malaysia yang ikut serta, dua daripadanya akan bersaing di dalam kategori Urban Concept manakala lima lagi pasukan di dalam kategori Prototype. Secara keseluruhannya, pasukan-pasukan dari Malaysia ini akan dicabar oleh peserta dari 20 negara lain.

SEM merupakan platform utama bagi golongan belia untuk membangun dan mempamerkan bakat mereka di dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan tenaga. Ia juga menjadi wadah bagi golongan muda rantau ini untuk menemukan cara baru untuk menyatakan idea mereka melalui pendekatan perniagaan kreatif, pemasaran dan komunikasi.

Menurut Pengarah Teknikal SEM Asia, Colin Chin pula; “Acara ini memberikan ruang kepada bakat muda dari pelbagai negara untuk mereka cipta, membangunkan jentera cekap tenaga menggunakan pelbagai jenis tenaga seperti hidrogen, GTL dan bateri elektrik.” SEM Asia pertama kali diadakan pada tahun 2010 dengan Malaysia menjadi tuan rumah.