Honda Malaysia menerusi rakan pengedarnya di Kelantan, Ban Chu Bee Sdn. Bhd. (Ban Chu Bee) telah melancarkan pusat 4S Honda terbesar di negeri tersebut. Sekaligus turut menjadi pusat 4S terbesar di Pantai Timur, yang bersedia memberikan perkhidmatan terbaik bagi para pelanggan di kawasan berkenaan terutamanya Kelantan.

Pusat 4S ini meliputi keluasan 152,460 kaki persegi dengan bangunan seluas 62,200 kaki persegi yang menempatkan fasiliti Jualan, Penyelenggaran, Alat Ganti dan Pusat Mengecat Badan. Ia juga menempatkan kemudahan bagi para pelanggan termasuk ruang menunggu, dan Executive Lounge, Wi-Fi percuma, ruang permainan kanak-kanak, dan Surau.

Sebanyak RM22 juta perlaburan telah dilakukan untuk menaiktaraf Pusat 4S Honda baharu ini termasuk bagi bahagian jualan dan perkhidmatan selepas jualan. Pusat 4S ini turut menempatkan 20 ruang penyelenggaran termasuk lima ruang bagi ‘fast service’,satu ruang penyelenggaran tayar, lapan ruang penyelenggaran dan satu ruang penyelenggaran pendingin hawa. Ia mampy menyelenggara sehingga 100 kenderaan sehari atau lebih 22,000 unit kenderaan setahun.

Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia, Katsuto Hayashi berkata, “Pada tahun lalu, Honda Malaysia berjaya menjual 91,830 unit, di mana kawasan Pantai Timur sahaja telah menyumbang sebanyak 8% kepada angka jualan tersebut, iaitu melebihi 7,200 unit kenderaan Honda. Kelantan juga telah menyumbang sebanyak 34.6% bagi kawasan Pantai Timur dan Honda Jazz menjadi antara kegemaran di sini. Dalam lima tahun kebelakangan ini, Honda Malaysia telah mencatatkan peningkatan sebanyak 172% di Pantai Timur.”

Honda Malaysia memulakan tahun ini dengan melancarkan BR-V pada Januari lalu dan kini telah mencapai 10,000 unit tempahan dengan 5,200 unit telah didaftarkan. Pada awal Mac pula, City 2017 telah dilancarkan dan hingga kini menghampiri 3,000 tempahan dalam kurang tiga minggu.

“Dengan dua pelancaran ini dan ada lagi dua model yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, pasaran di sini semakin berkembang, termasuk di Kelantan. Malahan pembukaan secara rasmi Pusat 4S Honda Ban Chu Bee ini dilihat mampu memberikan perkhidmatan yang diperlukan oleh para pelanggan di sekitarnya.

Pusat 4S Honda Ban Chu Bee terletak di Lot 1349, Jalan Pasir Mas-Salor, Kota Bharu dan para pelanggan boleh menghubungi talian 09-744 3337/09-744 5893 untuk membuat temujanji penyelenggaran.